Nelayan Merayu ESH Diteruskan Bantu Ringankan Beban

SABAK BERNAM – Nelayan pesisir pantai di daerah ini meminta kerajaan supaya meneruskan Elaun Sara Hidup (ESH) secara tunai bagi membantu meringankan beban golongan itu.

Seorang nelayan dari Pasir Panjang, Saiful Azli Murad, 39, berkata, ESH yang diperkenalkan sejak 2006 yang dibayar secara tunai itu telah banyak membantu kehidupan nelayan.

Menurutnya, majoriti nelayan hidup dalam kemiskinan dan sememangnya memerlukan wang tunai untuk menguruskan kehidupan.

“Kami rayu kerajaan meneruskan pemberian ESH secara tunai terutama bagi menghadapi musim tengkujuh.

“Jika ada wang tunai bolehlah kami bayar yuran persekolahan anak, berbanding jika wang itu untuk kegunaan membeli barang keperluan asas semata-mata,” katanya.

Nasir Safari, 36, pula berkata, majoriti nelayan dijangka tidak lagi memberi sokongan kepada kerajaan PH sekiranya ESH dilupuskan atau mengehadkan wang RM300 untuk membeli barang keperluan.

“Kita berharap kerajaan dipilih rakyat membuat penambahbaikan lebih baik daripada pemerintahan sebelumnya.

“Namun, kami kecewa kerana tiada sebarang keputusan diumumkan kerajaan mengenai ESH pada bajet 2019 lalu,” katanya.

Menurutnya, semasa pentadbiran BN, nelayan pesisir pantai menikmati kenaikan ESH daripada RM200 kepada RM300 pada 2015.

Saiful Azli Murad, 39, berkata, tidak mustahil, golongan muda tidak lagi berminat bekerja sebagai nelayan sekiranya kerajaan terus meminggirkan kebajikan yang dinikmati sebelum ini.

Katanya, dengan adanya bantuan secara tunai ia dapat merangsang golongan muda untuk terlibat dalam industri perikanan negara.

“Sampai bila negara nak bergantung harap kepada nelayan warga asing, sedangkan ramai lagi anak muda masih lagi menganggur dalam keadaan kos sara hidup makin meningkat,” katanya.

Wan Omar Wan Yusof, 65, berkata, kerajaan diharap meneruskan pemberian wang tunai berbanding cadangan penggunaan kad pintar.

Wan Omar yang menjadi nelayan sejak berusia 14 tahun berkata, kerajaan perlu mendengar keluh-kesah golongan nelayan sebelum sebarang keputusan dilaksanakan.

“Kami harap kerajaan faham dengan pendapatan kami yang hanya mampu memperoleh sekitar purata RM800 sebulan.

“Jika ada tambahan RM300, dapatlah kami gunakan untuk baik pulih kerosakan enjin bot, perubatan atau keperluan lain,” katanya. – SINAR HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.