Najib: Malaysia Tentang Habis-habisan Usaha Jadikan Baitulmaqdis Ibu Kota Israel

Datuk Seri Najib Tun Razak mengulangi pendirian menentang tindakan Amerika Syarikat yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel. Bagi tujuan itu, Perdana Menteri akan menghadiri persidangan khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul, Turki, pada 13 Disember ini untuk menyuarakan ketegasan Malaysia dalam isu berkenaan.

Jelas Najib yang juga Presiden UMNO, beliau tidak reda melihat nasib umat Islam tertekan dalam apa jua keadaan apatah lagi melihat Tanah Suci umat Islam tergadai.

“Umat Islam Malaysia akan tentang habis-habisan usaha Baitulmaqdis dijadikan ibu kota Israel,” kata beliau dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2017) di Dewan Merdeka, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Selain Malaysia, pemimpin dunia yang lain membantah tindakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Selain pemimpin negara Islam, Canselor Jerman, Angela Merkel, Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Kesatuan Eropah (EU) turut melahirkan kebimbangan berkenaan.

Pemimpin tersebut amat bimbang dengan kesan terhadap keputusan Amerika Syarikat dan menegaskan mahu status Baitulmaqdis diselesaikan melalui rundingan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.