Kata Dua PAS Kepada PPBM

KUALA LUMPUR – Pas memberi kata dua kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sama ada mahu bergabung dengan parti itu atau DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) dalam Pakatan Harapan (PH).

 

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, jika PPBM membuat keputusan untuk bersama PH, Pas akan menutup pintu rundingan atau kerjasama dengannya.

 

Katanya, Pas tidak rugi apa-apa kalau tidak bersama dengan PPBM kerana parti yang memperjuangkan Islam itu pernah bersendirian melawan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

 

“Kita masih tunggu dan lihat apa keputusan muktamad PPBM. Bagi Pas, keputusannya jelas, jika dia bersama DAP dan PAN, dia tidak akan bersama Pas lagi,” katanya kepada pemberita selepas sesi Dialog Rakyat sempena Hari Anti Rasuah Antarabangsa 2016 peringkat kebangsaan di Hotel Primiera di sini, hari ini.

 

Sementara itu, pada sesi Dialog Rakyat, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, seseorang pemimpin tidak boleh dianggap bersalah dalam kes rasuah selagi tidak menjalani proses perbicaraan di mahkamah.

 

Ujar beliau, hanya mahkamah yang boleh menentukan salah atau tidak seseorang pemimpin yang didakwa atas tuduhan rasuah.

 

Beliau turut menyambut baik usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melipatgandakan aktiviti mencegah rasuah termasuk kempen dalam kalangan masyarakat setempat.

 

Katanya, hanya dengan kerjasama rakyat, SPRM dapat membanteras gejala rasuah termasuk memberi kesedaran kepada golongan sasar agar tidak takut untuk membuat laporan.

 

Takiyuddin bersama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim sebagai panel Dialog Rakyat. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.