Puteri UMNO Desak Kerajaan Kaji Kadar Pengangkutan Awam

KUALA LUMPUR – Puteri UMNO hari ini mendesak kerajaan melalui Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) supaya mengkaji semula dan merasionalisasikan kenaikan harga pengangkutan awam yang dianggap membebankan rakyat.

 

Menggunakan pentas perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO 2015 di sini, Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menyentuh berkenaan kadar tambang yang bagaikan sedang meraikan musim kenaikan harga memberi kesan yang sangat mendalam kepada orang muda.

 

Katanya, Puteri UMNO melihat perkara utama yang mempengaruhi kos kehidupan wanita muda adalah pendapatan bulanan yang tidak seimbang dengan kepeluan kos sara hidup merangkumi kos pengangkutan, tempat tinggal dan keperluan untuk menabung.

 

Beliau berkata, kenaikan tambang bagi Projek Stesen Aliran Ringan (LRT) dan Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) serta pengenalan tambang yang agak tinggi bagi Bus Rapid Transit (BRT) membebankan pengguna.

 

“Warga kota kini amat terkesan dengan ketakstabilan ekonomi yang ketara. Bagi mereka yang baru merancang untuk memulakan kehidupan berkeluarga, beban kos sara hidup yang tinggi adalah perkara yang perlu diambil kira,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.