Portal Pro BN Jangka Muhyiddin Bakal Digantung

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka bakal digantung jawatan berikutan kegagalannya hadir ke Majlis Taklimat Tertutup Presiden UMNO, semalam.

 

Menurut portal Pro BN, 10 orang ahli Majlis Tertinggi UMNO itu dijangka bakal memaklumkan kepada Presiden dan Setiausaha Agung untuk membawa usul tersebut dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO malam ini.

 

Petang tadi, Bekas Timbalan Perdana Menteri itu menafikan dakwaan akan digantung jawatan sekali gus yakin tidak dikenakan sebarang tindakan disiplin susulan tindakannya yang mengadakan satu perhimpunan di Kelab Sultan Sulaiman, dua hari lalu.

 

Menurut wakil kumpulan 10 MT, tindakan Muhyiddin mengadakan Perhimpunan menyelar Presiden parti di Kelab Sultan Sulaiman beberapa hari sebelum Perhimpunan Agung UMNO adalah tindakan yang tidak beretika.

 

Katanya, 10 MT berharap majlis tertutup semalam boleh memulihkan suasana ini sebelum persidangan bermula khamis ini, bagaimanapun ia tidak berlaku apabila Timbalan Presiden memilih tidak hadir tanpa sebab. Ini menunjukkan Timbalan Presiden itu mahu mencari perpecahan bukan pengukuhan parti.

 

Kumpulan 10 MT ini bagaimanapun berpuas hati dengan kehadiran Naib Presiden Datuk Seri Shafiee Apdal yang menunjukkan sikap terbuka biarpun berbeza pendapat.

 

“Kita boleh terima perbezaan pendapat dalam kalangan pemimpin. Namun, kita tidak boleh terima usaha meneruskan dan melebarkan jurang perbezaan ini sehingga menggusarkan akar umbi. Jika Datuk Seri Shafie Apdal boleh hadir majlis semalam, mengapa Timbalan Presiden memilih untuk tidak hadir?

 

“Kami mahu MT malam ini menggantung tugas jawatan Timbalan Presiden sehingga diadakan satu siasatan disiplin menyeluruh dijalankan. Lebih banyak agenda rakyat perlu dibahaskan bukannya meneruskan polemik perebutan kuasa,”kata wakil itu.

 

Sebelum ini timbul desas-desus bahawa penggulungan Majlis Tertinggi UMNO hanya akan dilakukan oleh Presiden UMNO berikutan kekhuatiran akan timbul ketegangan jika Timbalan Presiden turut menggulungnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.