Jangan Pecah Belahkan UMNO

KUALA LUMPUR – UMNO tidak memerlukan individu yang membentuk kumpulan kecil atau serpihan dan melontarkan pandangan kononnya untuk mengukuhkan parti.

 

Naib Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan individu atau kumpulan tersebut akan hanya merosakkan perpaduan sedia ada.

 

Beliau berkata, justeru, setiap ahli perlu bersama untuk mendokong kepemimpinan sedia ada bagi menghadapi setiap masalah yang timbul.

 

“Apabila menyatakan dan melontarkan pandangan untuk memperkukuhkan parti dengan mewujudkan kumpulan kecil, sebenarnya orang ini yang merosakkan parti.

 

“Kenapa perlu ada satu perhimpunan yang lain dengan kumpulan yang lain, yang kita akan lihat bagaimana suasana yang amat berbeza.

 

“Kalau mahu parti kukuh jangan ada serpihan dalam parti, kita perlu bersama. Tidak ada kumpulan dalam UMNO, kita semua satu hati,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pertan­dingan Akhir Pidato Piala Presiden UMNO 2015 dan melancarkan Kelab Alumni Pidato Piala Presiden di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini semalam.

 

Yang turut hadir, Ketua Penera­ngan UMNO, Datuk Ahmad Maslan dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Senator Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

 

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, zaman hari ini berbeza dengan masa lalu yang memerlukan perpaduan yang erat di semua peringkat.

 

“UMNO mengalami ujian demi ujian. Allah turun ujian demi ujian sebab tidak ada pemimpin yang tidak diuji.

 

“Kita memberi dokongan kepada pemimpin sebelum ini bukan kerana mereka hebat tetapi kita mendokongnya dan menjadikan mereka hebat untuk menyelesaikan semua masalah yang timbul.

 

“Zaman ini zaman yang berbeza. Kita perlu memberi doko­ngan kepada pemimpin untuk menyelesaikan masalah yang timbul,” katanya.

 

Sementara itu, beliau berkata, setiap pemimpin UMNO harus mempunyai kemahiran berpidato agar mesej dapat disampaikan dengan lebih berkesan.

 

Katanya, kemahiran tersebut perlu digilap supaya khalayak lebih memahami apa yang ingin disampaikan.

 
“Setiap pemimpin wajib berpidato tetapi pemidato tidak semestinya menjadi ahli politik, jika seseorang mempunyai kemahiran pidato maka dia boleh menyampaikan mesej dengan berkesan,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.