Ultras Malaya Bidas Tindakan Penyokong Yang Merusuh Kerana Tidak Terima Kekalahan

Kuala Lumpur – Ultras Malaya, kelab penyokong tegar skuad Harimau Malaya,  hari ini tampil membidas tindakan tidak bertanggungjawab penyokong bola sepak negara.

Wakil penyokong Ultras Malaya, Lekir Ahmad meminta penyokong terbabit menerima kekalahan pasukan negara kepada Vietnam dengan hati terbuka.

Dia turut menegaskan penyokong Ultras Malaya tidak terbabit dalam insiden menyerang penyokong Vietnam dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Katanya, mereka berada pada kedudukan yang berbeza dengan penyokong lain pada perlawanan berkenaan.

“Kami berada di bahagian papan markah yang terletak di sebelah kiri stadium manakala penyokong yang membuat kecoh di bahagian kanan stadium yang menempatkan penyokong Vietnam.

“Saya difahamkan, salah seorang penyokong tempatan mengasari penyokong wanita Vietnam dan saya lihat perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana terdapat beberapa kanak-kanak yang turut hadir menyaksikan perlawanan itu,” kata Lekir.

Dia turut bimbang insiden berkenaan bakal menjejaskan keselamatan penyokong Ultras Malaya yang akan berkunjung ke Vietnam bagi memberikan sokongan kepada skuad Harimau Malaya pada aksi timbal balik nanti.

“Kami akan meminta bantuan daripada Kedutaan Malaysia di Vietnam bagi memastikan penyokong negara berada dalam keadaan selamat sepanjang berada di sana nanti,” kata Lekir.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.