Tembakan dilepaskan ke pejabat Marin Kastam di Pengkalan Kubor

Gambar File

Polis tidak menolak kemungkinan dua tembakan yang dilepaskan ke Pejabat Pangkalan Marin Kastam di Jeti Penguatkuasaan Pengkalan Kubor semalam sebagai angkara khianat.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata kejadian itu berlaku kira-kira 1 pagi semalam dan polis menjumpai dua lubang kesan tembakan pada cermin bahagian pantri pejabat berkenaan.

“Tembakan mungkin dilakukan dari jarak antara 20 dan 30m dari arah Sungai Golok. Berdasarkan kesan dan sudut tembakan pada cermin berkenaan, kemungkinan tembakan itu dilepaskan dari atas bot,” katanya kepada pemberita di Jeti Penguatkuasaan Pengkalan Kubor.

Mazlan berkata senapang angin dengan peluru bebola besi dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
Katanya dua pegawai kastam yang sedang bertugas dalam pejabat itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Polis akan mendapatkan kerjasama pihak berkuasa Thailand untuk membantu siasatan kes itu, katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.