Seperti pelampau, liberalisme juga punca umat Islam bersengketa, kata Muhyiddin

Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika berucap di Perhimpunan Agung Umno, bulan lalu. Beliau berkata fahaman liberalisme dan pluralisme merupakan punca umat Islam bersengketa. – Gambar fail The Malaysian Insider.

Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru umat Islam berwaspada dengan kemunculan pelbagai fahaman dalam kepercayaan dan amalan agama Islam bagi mengelak persengketaan sesama umat.

Timbalan perdana menteri itu berkata fahaman berkenaan termasuklah fahaman yang menggalakkan budaya ekstremisme, permusuhan dan keganasan atas nama Islam.

“Demikian juga fahaman di sudut bertentangan yang menggalakkan budaya bebas tanpa batasan, liberalisme dan pluralisme agama.

“Sebagai agama yang menyeru umatnya supaya menjadi ummatan wasata, maka saya percaya prinsip wasatiah jugalah yang menjadi paksi kesatuan dan kekuatan umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Pemikiran Islam IV di Universiti Malaya hari ini.
Muhyiddin berkata, prinsip wasatiah bukan sahaja perlu dihayati umat Islam bahkan penganut agama lain juga.

Katanya, selagi masyarakat tidak bersifat ekstrem, mereka akan mampu menjernihkan pemikiran dengan sikap yang positif dan menghargai insan lain.

“Saya percaya prinsip kesederhanaan atau ‘middle way’ yang mementingkan keseimbangan dan keharmonian dalam hubungan sesama manusia merupakan satu prinsip yang amat ditekankan semua agama,” katanya.

Beliau juga menyeru institusi pendidikan Islam di Malaysia mencontohi Universiti Al-Azhar dalam melakukan penambahbaikan berterusan, khususnya dengan menyusun kurikulum akidah, syariah dan tasawuf.

Katanya, penambahbaikan itu perlu berteraskan kepada prinsip dan pendekatan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang bersifat wasatiah.

“Ini penting dalam usaha kita melahirkan umat Islam yang cemerlang, cintakan keharmonian dan kedamaian serta menjauhi sikap yang melampau dan ekstrem.

“Dalam konteks yang lebih luas, saya percaya jika umat Islam menjauhi sikap yang melampau dan mengekalkan adab dalam berselisih pendapat, maka kita akan berjaya memelihara keamanan dan keharmonian di negara kita.

“Sewajarnya, para ulama, ahli akademik dan cerdik pandai Islam, menjadi contoh teladan dalam mendukung semangat musyawwarah, bertukar-tukar fikiran dan berdialog dalam menyelesaikan isu yang penting kepada umat Islam,” katanya. –MalaysiaInsider

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.