Saya Tidak Terfikir Sertai Pertandingan Lawak – Amy Mastura

Jika kebanyakan pelakon berpengalaman bersikap cerewet menerima tawaran berlakon, ia berbeza kepada penyanyi dan pelakon popular, Amy Mastura.

Menurut penyanyi yang pernah popular dengan lagu Jawapan Kasih ini, dia tidak memilih sebaliknya akan menerima tawaran berlakon itu sekiranya jadual tidak terlalu padat dengan aktiviti seni lain.

“Saya tidak memilih. Apa saja yang ditawarkan, kalau saya ada kelapangan  pada waktu itu saya akan terima,” katanya ketika ditemui pada sidang media Teater Diari Wanita… Kak Ani & Nyonya di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Sementelah sejak beberapa tahun kebelakangan ini, bintang filem Puteri Impian ini lebih banyak membawakan watak komedi berbanding karakter serius.

“Saya tidak kisah jika orang mahu labelkan saya pelawak atau bukan. Baru-baru ni saya ada juga bawakan watak serius dalam drama Maafkan Aku Jika Tak Sempurna.

“Saya selesa bawakan watak komedi tetapi saya tidak terfikir mahu sertai pertandingan lawak. Saya ada ditawarkan tapi saya menolak kerana saya akan jadi gementar apabila berada di atas pentas dan nanti takut saya buat lawak tak jadi pula.

“Cuma sekarang ini saya lebih banyak mendapat watak ibu. Jika bawa watak budak kolej memang tidak sesuai lagi tetapi watak ibu, saya okay saja,” kata ibu anak dua ini yang masih kelihatan awet muda meskipun sudah mencecah usia 43 tahun.

Sementara itu, mengenai penglibatannya dalam Teater Diari Wanita… Kak Ani & Nyonya, dia masih memengang watak sama iaitu Keponakan Anggun.

Sepertimana pada pementasan tahun lalu, Amy berdepan cabaran bertutur dalam dialek bahasa Indonesia.

“Saya terima tawaran ni sebab kebetulan saya tidak terikat dengan komitmen lain. Lagipun tahun lepas saya mendapat satu pengalaman yang menyeronokkan sepanjang terlibat dalam teater ini.

“Walaupun watak sama tapi setiap pementasan pasti ada perbezaan dari segi isi dan ceritanya.

“Bila saya bercakap dalam bahasa Indonesia bunyinya akan kedegaran macam bahasa Sepanyol sikit. Pementasan kali ni pula kami juga bercakap Inggeris, jadi penonton boleh anggap saya orang Indonesia yang ada darah Sepanyol,” katanya sambil tertawa.

Diajak berkongsi mengenai kehidupannya pula, Amy menyatakan dia semakin bahagia bersama suami dan dua cahaya mata, Adriana, 14, dan Adalia, 10.

“Alhamdulillah, kehidupan macam biasa dan bahagia. Rasanya cukuplah dua orang tu (anak).

“Tapi kalau ada rezeki, apa salahnya. Ini semua kerja Tuhan,” katanya.

Perkembangan lain, Amy yang baru selesai menjalani penggambaran drama bersiri berjudul Becinta sibuk pula dengan penggambaran drama Dee Muzikal. Selain itu dia bakal melancarkan single terbaru bertajuk Menari Ler tidak lama lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.