Sabah Rekod Kematian Tertinggi Akibat Kebakaran Tahun Ini

Kota Kinabalu – Sabah merekodkan angka kematian paling tinggi akibat kebakaran sepanjang tahun ini di seluruh negara melibatkan 27 mangsa, kata Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim.

Beliau berkata jumlah itu mewakili satu pertiga daripada keseluruhan kes kematian akibat kebakaran di seluruh negara tahun ini.

“Biasanya angka kematian di seluruh Malaysia adalah antara 80 hingga 90 orang. Jadi kalau 27 orang tu, maknanya dah satu pertiga daripada jumlah kematian berlaku di negeri sabah. Ini satu perkara yang kita beri perhatian.

“Mungkin kita kena tingkatkan lagi kempen kesedaran kerana kita sedar Sabah merupakan negeri yang luas. Kalau kita buat seminar di Kota Kinabalu, mungkin ia tidak sampai ke tempat-tempat lain,” katanya.

Wan Mohd Nor berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Keselamatan Kebakaran JBPM Negeri Sabah 2014 anjuran jabatan itu, di sini hari ini. Turut hadir pengarah JBPM Sabah Nordin Pauzi.

Menurut Wan Mohd Nor kebanyakan mangsa ialah kanak-kanak yang ditinggalkan ibu bapa di rumah dan warga emas yang hidup bersendirian di rumah mereka.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar menanam kesedaran mendalam berkaitan keselamatan kebakaran, khususnya di kediaman masing-masing, bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.

Katanya pihak bomba mendapati kecuaian ketika memasak di dapur dan pendawaian elektrik yang tidak mengikut piawaian ditetapkan adalah antara punca utama kebakaran di rumah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.