Pidato Anwar: 8 Pelajar UM Berdepan Hukuman Buang Universiti

Kuala Lumpur – Lapan pelajar Universiti Malaya (UM) yang sedang menghadapi prosiding Panel Disiplin atas dakwaan menganjur dan menyertai Perhimpunan Pidato Anwar Ibrahim berdepan dengan kemungkinan dibuang universiti.

Seorang tertuduh, Haw Yu Hong, 22, berkata, beliau bimbang semua pelajar terbabit disabit kesalahan yang membawa kepada digantung pengajian atau dibuang.

Menurutnya, tidak wajar menyekat kebebasan bersuara pelajar UM memandangkan Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan menyatakan mana-mana warganegara adalah bebas bersuara dan menyuarakan pendapat.

“Maka kami akan merayu kepada panel Rayuan UM bagi terhadap segala pertuduhan jika disabitkan, dan sekiranya masih tak dapat keadilan maka kes akan dirujuk ke Mahkamah,” katanya.

Tertuduh pertama, Fahmi Zainol, 23, yang juga bekas Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UM, berkata, semasa prosiding selama tiga jam itu berlangsung, bukti-bukti pertuduhan yang ditunjukkan Panel Disiplin mensabitkan beliau tidak jelas dan tidak spesifik.

Sebaliknya dakwa Fahmi, semua bukti-bukti Panel tiga pegawai itu hanya berasaskan berita keratan akhbar tempatan sahaja.

“Seramai empat saksi dan semua mereka merupakan pengawal keselamatan UM dipanggil dan mereka sendiri tidak dapat mengesahan siapa sebenarnya yang merakam bukti-bukti bergambar insiden yang menyabitkan penglibatan kami pada malam tersebut.

“Malah apa yang pelik ialah kami terus dipanggil untuk prosiding pendakwaan tanpa diberi masa secukupnya untuk menyediakan bahan bukti terlebih dahulu bagi mempertahankan diri kami, dan tindakan panel itu agak mengecewakan,” katanya kepada pemberita selepas prosiding.

Kaedah 53 Universiti Malaya (Disiplin Pelajar) 1999 menyatakan juga seseorang tertuduh selepas tidak mengaku salah, maka pihak universiti akan mengemukakan bukti yang pihak universiti perolehi kepada tertuduh.

Prosiding itu disambung pada jam 2.30 petang, yang mana Pengerusi Pro-Mahasiswa, Safwan Anang individu kedua yang menghadapi prosiding Panel Disiplin UM.

Keputusan dijangka akan diketahui menjelang malam ini.

Panel prosiding dibarisi tiga pegawai yang diketuai Dekan Fakulti Sains, Prof. Dr. Zanariah Abdullah dan setiap lapan pelajar itu disiasat secara berasingan.

Selain Fahmi dan Yu Hong, enam lagi mahasiswa terlibat ialah Khairul Najib Hashim, 22; Abraham Au, 20; Khairul Anwar, 22; Safwan Shamsudin, 22; Adam Fistival Wilfrid, 23 dan Syamimi Munirah, 22.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.