Penganut Agama Lain Perlu Hayati Wasatiyyah

Kuala Lumpur – Para penganut agama lain disaran supaya turut menghayati prinsip wasatiyyah (kesederhanaan) kerana prinsip itu bukan sahaja dikhususkan kepada umat Islam sebaliknya, perlu diterjemahkan juga kepada pengikut-pengikut agama lain.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, wassatiyyah merupakan satu prinsip yang mementingkan keseimbangan serta keharmonian dalam hubungan sesama manusia dan prinsip tersebut sememangnya ditekankan oleh semua agama.

Menurutnya, selagi individu itu bersifat ekstrem maka dia harus menjernihkan pemikiran dengan sikap yang positif dan menghargai insan lain menerusi wasatiyyah.

“Saya percaya prinsip ini mampu menjadi paksi kesatuan dan kekuatan umat Islam di Malaysia dan di seluruh dunia,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Pemikiran Islam ke-IV peringkat antarabangsa di Universiti Malaya Selasa.

Seminar yang berlangsung selama dua hari hingga esok itu dijayakan dengan kerjasama Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia, Institut Wasatiyyah Malaysia dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Dalam ucapannya Muhyiddin berkata, umat Islam mesti berwaspada dengan kemunculan pelbagai fahaman melampau dalam kepercayaan dan agama yang sekiranya tidak dibendung boleh mencetuskan persengketaan sesama sendiri.

Katanya, ini termasuklah fahaman yang menggalakkan budaya ekstremisme, permusuhan dan keganasan atas nama Islam.

Ujarnya, perkara tersebut turut meliputi fahaman di sudut bertentangan yang menggalakkan budaya bebas tanpa batasan, liberalisme dan pluralisme agama.

Tambah beliau, sekiranya umat Islam menjauhi sikap yang melampau dan mengekalkan adad-adab dalam berselisih pendapat, maka mereka akan berjaya memelihara keamanan dan keharmonian di negara ini.

Justeru, sebagai usaha mencapai matlamat itu sepenuhnya beliau mencadangkan agar institusi pendidikan Islam di Malaysia mencontohi Universiti Al-Azhar dalam melakukan penambahbaikan berterusan.

Jelas beliau, langkah itu penting bagi melahirkan generasi muslimin yang cemerlang, cintakan keharmonian dan kedamaian serta menjauhi sikap yang melampau dan ekstrem.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.