AMPANG – Mayat bayi yang dipercayai baru dilahirkan ditemui di dalam tong sampah di pintu A Hospital Ampang, Pandan Mewah awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, mayat bayi malang itu ditemui seorang pekerja pencuci hospital sebelum dimaklumkan kepada pengawal keselamatan.

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Khairuldin Saad berkata, mayat bayi perempuan itu ditemui dalam keadaan dibalut dengan baju kurung berwarna biru.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati tali pusat bayi sudah dipotong dan dipercayai dilahirkan 24 jam yang lalu.

“Tiada kecederaan dalaman dan luaran yang dialami bayi malang itu.

“Mayat bayi seberat 3.25 kilogram itu dihantar Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk bedah siasat,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan jika sabit kesalahan, seseorang itu boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. -RakyatPost