Kes Bunuh Depan Tokong : Polis Syak Melibatkan Kumpulan Rakyat Myanmar

Pulau Pinang – Polis percaya kes bunuh di hadapan sebuah tokong di Taman Metropolitan, Relau hari ini dilakukan oleh kumpulan rakyat Myanmar yang sama dalam beberapa kes bunuh melibatkan rakyat negara itu di negeri ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datul Abdul Rahim Hanafi berkata ia berdasarkan modus operandi dan kesan kecederaan yang dialami mangsa sama seperti kes-kes bunuh membabitkan rakyat Myanmar sebelum ini.

“Berdasarkan siasatan awal, kami tidak menolak kemungkinan kes bunuh awal pagi ini di Relau itu mempunyai kaitan dengan beberapa kes bunuh membabitkan warga Myanmar.
“Suspek dipercayai warga Myanmar dan mangsa juga rakan senegaranya. Motif kejadian dipercayai dendam yang dibawa dari negara mereka, bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya hari ini.

Rahim berkata usaha mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian itu giat dijalankan dan menurutnya mungkin polis boleh mendapatkan maklumat daripada warga Myanmar yang ditahan sebelum ini.

Sejak awal tahun ini, 18 kes pembunuhan rakyat Myanmar dilapor di Pulau Pinang dan pada peringkat awal, mayat dibungkus dengan kain putih seperti dikafan dan ditinggalkan di tepi-tepi jalan.

Bagaimanapun sejak bulan lepas kumpulan terbabit mula memotong anggota badan mangsa. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.