Kerajaan Disyorkan Buat Tapisan SPRM Perlantikan Penjawat Awam Dan GLC

Kuala Lumpur – Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) menerusi Laporan Tahunan 2013 hari ini mengesyorkan empat cadangan dalam usaha memerangi gejala rasuah di negara ini.
Pengerusinya, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata pihaknya mengesyorkan kerajaan supaya mewajibkan tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai kriteria pelantikan penjawat awam dan pengerusi GLC.
“Pelantikan individu yang diragui integriti boleh menimbulkan persepsi kurang baik kepada masyarakat dan memberi tanggapan negatif terhadap kerajaan,” katanya kepada pemberita di lobi bangunan Parlimen, di sini, hari ini.
Beliau berkata, JKMR juga mencadangkan kerajaan supaya mewujudkan satu entiti pemantau yang bebas dengan mengambil contoh fungsi yang terdapat pada Jawatankuasa Aduan di SPRM.
Katanya, jawatankuasa sebagai mekanisme semak dan imbang bagi memantau keberkesanan fungsi jabatan itu.
“Jawatankuasa ini berperanan untuk mengenal pasti kelemahan dalam tatacara kerja SPRM yang mungkin menimbulkan aduan.
“Keanggotaan entiti pemantau ini hendaklah terdiri daripada individu-individu yang mempunyai tahap integriti yang tinggi, ilmu pengetahuan dan pengalaman luas dalam bidang perundangan, pentadbiran serta kepakaran-kepakaran profesional,” ujarnya.
Dalam pada itu, katanya kerajaan wajar mempertimbangkan semula pindaan undang-undang baharu bagi membanteras penularan sindiket perjudian tanpa lesen dan gejala aktiviti maksiat.
“Kerajaan wajar memikirkan satu pindaan undang-undang yang baharu untuk membanteras kedua-dua gejala ini,” jelasnya.
Sementara itu, pembentukan Jawatankuasa Khas oleh kerajaan mengenai isu pencerobohan tanah secara haram perlu dianggotai oleh SPRM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.