Keluarga Mangsa Pertama Gesa Keadilan Untuk Kes Kehilangan 43 Pelajar

Mexico – Keluarga mangsa pertama yang dikenal pasti berikutan kehilangan 43 pelajar di Mexico, menggesa agar berlaku keadilan dalam kes berkenaan yang menggemparkan negara ini.
Peguam Negara, Jesus Murillo Karam mengesahkan bahawa Alexander Mora, 19, dikenal pasti dalam kalangan mayat lain yang rentung di sebuah pusat pelupusan sampah berhampiran sungai, sekali gus menimbulkan syak bahawa semua 43 mangsa dibunuh oleh kumpulan pengedar dadah yang disokong oleh polis September lalu.
Pihak berkuasa menghantar 17 mayat yang terbakar teruk itu ke sebuah universiti perubatan di Austria bulan lalu berikutan pengakuan oleh kumpulan pengedar dadah ‘Guerreros Unidos’ bahawa mereka membunuh pelajar terbabit di negeri Guerrero di selatan Mexico.
Murillo Karam berkata lebih banyak ujian yang dilakukan ke atas mayat yang dihantar ke Austria, masih belum dikenal pasti.
Pihak berkuasa berkata pelajar yang bakal menjadi guru itu hilang selepas polis menahan bas mereka di bandaraya Iguala pada 26 September lalu, kononnya didakwa atas arahan Datuk Bandar dan isterinya.
Anggota polis terbabit kemudian menghantar mereka kepada kumpulan ‘Guerreros Unidos’ yang membawa mereka ke pusat pelupusan sampah untuk membunuh dan membakar mayat mereka sebelum membuangnya ke dalam sungai.
Murillo Karam berkata hanya mayat Mora, yang dijumpai di dalam Sungai San Juan, dikenal pasti dalam kalangan lain yang dianalisis oleh Universiti Inssbruck, Austria. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.