Jokowi Digesa Tegas, Pastikan Pembunuhan Munir Diselesaikan

Jakarta – Presiden Indonesia, Joko Widodo digesa untuk bertegas memastikan misteri pembunuhan aktivis hak asasi manusia, Munir Said Thalib 10 tahun lalu dapat diselesaikan dalam masa pentadbirannya lima tahun ini “atas nama kemanusiaan dan keadilan”.

Gesaan itu dibuat oleh majalah mingguan Tempo melalui lidah pengarangnya. Tempo edisi minggu ini yang terbit pada Isnin menerbitkan laporan khas mengenai kematian aktivis itu dengan tajuk besar ‘Fakta Baru Pembunuhan Munir’.

“Atas nama keadilan dan rasa kemanusiaan, Jokowi harus (mengutamakan kes) Munir,” kata majalah itu.

Ia mengingatkan betapa kes itu adalah penentuan kedaulatan undang-undang Indonesia, dan ia mengulangi kenyataan bekas Presiden Susilo Bambang Yudhoyono yang menyifatkan kes itu sebagai “ujian sejarah”.

“Yudhoyono, sayangnya, gagal melewati “ujian sejarah” itu. Kini orang berharap Presiden Joko Widodo tidak mengulang
kegagalan yang sama,” tulis Tempo.

Tempo menerbitkan laporan khas itu sempena hari ulangtahun kelahiran Munir pada Ahad. Munir, yang ketika kejadian berumur 42 tahun, terbunuh kerana racun arsenik semasa dalam penerbangan menggunakan pesawat Garuda Indonesia dari Jakarta menuju ke Amsterdam pada 6 September 2004.

Laporan badan penyiasat bebas yang ditubuhkan oleh Susilo tiga bulan selepas insiden itu merumuskan Munir diracun semasa dalam transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi.

Laporan Tempo yang memetik sumber-sumber penyiasatan menunjukkan bukti penglibatan Badan Perisikan Negara (BIN) dalam jenayah itu — hal yang sebelum ini diyakini oleh pendukung Munir.

Antaranya termasuk rakaman video keterangan seorang bekas agen risikan BIN semasa siasatan polis. Keterangan itu tidak dikemukakan di mahkamah kerana saksi itu dikatakan menarik balik keterangannya. Saksi itu bagaimanapun menafikan dia menarik balik keterangannya, sebaliknya dibuat untuk memancingnya supaya pulang ke Jakarta dan dia yakin dia akan dibunuh. Saksi itu sehingga ini tidak diketahui berada di mana.

Laporan khas itu juga menyenaraikan perihal beberapa orang saksi lain yang kemudian meninggal dunia dalam keadaan yang meragukan. Laporan itu juga mempersoalkan apakah kematian Munir ada kaitan dengan persaingan politik menjelang pemilihan presiden pada 2004 yang kemudiannya dimenangi oleh Susilo yang mengalahkan Megawati Sukarnoputri.

Bekas timbalan ketua BIN, Muchdi Purwoprandjono pada 2008 dibebaskan daripada tuduhan terlibat dalam kes itu. Polis Indonesia baru-baru ini mengatakan tidak akan membuka semula siasatan kes kerana tiada sebarang bukti baru.

“Polis sudah melakukan yang terbaik dalam penyiasatannya dan tertuduh  (Muchdi) didapati tidak bersalah atas semua tuduhan. Kami akan hanya membuka semula kes sekiranya ada bukti baru,” kata Ketua Polis Nasional, Jeneral Sutarman seperti dipetik oleh The Jakarta Post pada 3 Disember lalu.

Pembebasan Muchdi itu dirayu oleh pihak pendakwa namun ditolak oleh Mahkamah Agung.

Satu-satunya tertuduh yang didapati bersalah ialah bekas juruterbang Garuda Indonesia, Pollycarpus Budihari Priyanto yang dikatakan sering berkomunikasi dengan Muchdi menjelang hari-hari kematian Munir.

Dia dihukum penjara 20 tahun tetapi hukuman itu dikurangkan kepada 14 tahun selepas rayuan. Pollycarpus akhir bulan lalu bebas bersyarat setelah menjalani hukuman hanya 8 tahun penjara. Pendukung Munir menyifatkan pembebasan Pollycarpus menjejaskan komitmen Jokowi terhadap isu-isu hak asasi manusia.

Munir adalah pengasas Suruhanjaya Orang Hilang dan Mangsa Keganasan (Kontras) yang menggerakkan kempen menuntut keadilan bagi mangsa penindasan oleh negara. Dalam kempennya, Kontras kuat mengkritik tindakan melampau yang dilakukan oleh anggota Tentera Nasional Indonesia di bawah pentadbiran bekas Presiden Suharto.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.