Hanya 48 Jam Bersama Suami – Misha

Penyanyi dan pelakon popular, Misha Omar, 32, tidak merungut apabila terpaksa sering berjauhan dengan suaminya, Firos Ezzwan Rossly yang kerap ke luar negara atas komitmen tugas sebagai juruterbang.

Menurut pemilik nama sebenar Samihah Omar ini, walaupun suami jarang di sisi tetapi setiap kali Firos pulang bercuti meskipun hanya dua hari mereka sekeluarga akan manfaatkan kesempatan itu dengan meluangkan masa bersama.

Tambahnya, apa yang membuatkan dia berasa lucu ialah disebabkan cuti suaminya pendek, kadangkala dia terpaksa berebut dengan anaknya Mohammad Adam Emir,8, yang juga mahu bermanja dengan Firos.

“Dalam seminggu hanya 2 hari saja dia bercuti, atau kadang-kadang kurang dari 48 jam dia di darat. Selebihnya dia akan terbang sebab dia mengendalikan pesawat komersial juga kargo.

“Jadi, memang jadual kerjanya begitu. Saya sudah biasa dan sangat faham dengan keadaan itu lagipun saya sudah kenal dia sejak dia menuntut di akademi penerbangan lagi,” katanya ketika ditemui pada sidang media Teater Diari Wanita… Episod Kak Ani & Nyonya di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Misha mendirikan rumah tangga dengan Firos yang juga juruterbang syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) pada 2 Mei 2014.

Sementara itu, Misha memberitahu mereka mempunyai perancangan berbulan madu pada Februari tahun hadapan tetapi terpaksa ditangguhkan kerana komitmennya terhadap pementasan teater Nyonya.

“Sejak kahwin kami tidak sempat lagi berbulan madu tambahan baru-baru ini ramai ahli keluarga saya baru pulang dari bercuti.

“Jadi, aura bercuti mereka itu membuatkan kami juga teringin nak bercuti. Rasanya sudah tiga tahun saya tidak pergi bercuti,” katanya.

Katanya, dia sibuk dengan latihan teater bermula Januari tahun depan hingga pementasan pada Februari nanti.

“Alhamdulillah rezeki. Lagipun suami faham dan dia pun kata, lain kali tak usah rancang sangat, nanti takut tak jadi lagi,” katanya.

Disebalik impian berbulan madu tidak menjadi kenyataan, ada seperkara lain membuatkan Misha lebih teruja.

“Kami akan berpindah ke rumah baru terletak di Cheras dalam masa dua minggu lagi.

“Selama ini kami duduk bersama ibu, kakak dan adik saya. Kami rasa bila duduk dengan mereka, kami selalu dimanjakan misalnya jika saya balik lambat, sudah ada orang yang masak.

“Jadi sudah tiba masanya kami berdikari di rumah sendiri dan selepas ini sesibuk mana pun saya, saya tetap kena buat semua kerja rumah,” katanya.

Sementara itu, ini merupakan kali ketiga Misha terlibat dengan pementasan Nyonya. Meskipun masih memegang watak sama iaitu sebagai Keponakan Cantik, Misha menyatakan dia tetap berdepan cabaran menjiwai watak tersebut.

“Cabarannya dari segi saya perlu mewarnakan lagi karakter saya. Sebab mungkin penonton yang datang dalam kalangan mereka yang sudah pernah menonton teater Nyonya, jadi saya harus berikan sesuatu berbeza daripada pementasan sebelum ini.

“Selain itu, saya teruja apabila digandingkan dengan pelakon seperti Juhara Ayob kerana saya meminatinya. Saya suka pembawakan dia setiap kali di pentas teater.

“Apabila mendapat satu pentas dengan pelakon hebat sepertinya, terasa diri kecil dan gementar tetapi pada masa masa saya teruja,” katanya.

Naskah teater Nyonya terbitan CTRA Production sebelum ini pernah dipentaskan sebanyak enam kali. Diarahkan Rosminah Mohd Tahir, ia adalah sebuah karya sastera yang kaya dengan metafora, simbol dan pesonafikasi yang mampu membuat khalayak berfikir.

Teater ini juga bersifat humor dan emosi kerana penampilan watak yang menggunakan dialog berjenaka.

Menariknya, untuk pementasan kali ketujuh ini turut mengangkat kisah kehidupan Menteri Pembanggunan Wanita, Keluarga & Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim sejak zaman kecil hingga berjaya menjadi seorang menteri.

Selain Misha, teater ini turut dijayakan Sherry Alhadad, Amy Mastura, Nad Zainal, Sharul Mizad, Liza Othman dan Dayang Kartini. Ia akan dipentaskan pada 11 sehingga 16 Februari 2015 di Istana Budaya.

Tiket-tiket berharga dari RM35 hingga RM155. Maklumat lanjut di www.AirAsiaRedtix.com.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.