Gila Talak Kedai Keropok

Kuala Terengganu – Gila talak, itu gelaran sesuai kepada seorang lelaki yang bukan hanya memukul bekas isterinya, tetapi turut mengugut mencederakan dan membunuh wanita terbabit kerana cemburu mangsa mencari teman hidup lain dalam kejadian di Jalan Gong Tok Nasek, di sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari, suspek berusia 30-an datang ke tempat kerja bekas isterinya di sebuah kedai keropok, di sini, sebelum mengajak mangsa menaiki kenderaan pacuan empat roda dipandunya.

Menurut sumber, mangsa berusia 37 tahun yang enggan melihat suspek membuat kacau di tempat kerjanya hanya mengikuti kehendak bekas suaminya itu.

Katanya, sebaik tiba di Jalan Gong Tok Nasek, suspek meminta mangsa menyerahkan telefonnya dengan alasan mahu memeriksa sekiranya ada sesiapa menghubungi atau menghantar SMS kepadanya.

“Namun, mangsa enggan menuruti kehendak suspek menyebabkan dia berang lalu mengugut akan mencederakan dan membunuh bekas isterinya itu, sebelum menghantarnya pulang semula ke tempat kerja.

“Bagaimanapun, suspek yang masih tidak berpuas hati mula membuat kecoh di tempat kerja mangsa dengan membunyikan hon bertalu-talu tanpa menghiraukan keadaan sekeliling.

“Malu dengan sikap bekas suaminya, mangsa mengadu kepada majikannya menyebabkan suspek beredar dari tempat kerja bekas isterinya itu,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.