KUALA LUMPUR – Aktres terkenal, Nur Fazura Sharifuddin atau Fazura dikejutkan dengan lamaran oleh seorang jejaka yang melutut sambil menghulurkan cincin kepadanya.

Dalam video yang dimuat naik Oh! Media memaparkan kejutan lamaran tersebut berlaku di suatu majlis karaoke di ibu negara pada Ahad.

Jejaka itu meluahkan hasrat hatinya kepada Fazura selepas mendendangkan lagu All of Me nyanyian John Legend sehingga menimbulkan kejutan tetamu yang hadir dalam majlis itu.

Malah, Fazura yang kelihatan ceria menerima lamaran jejaka tersebut setelah mendapat ‘lampu hijau’ daripada ibunya yang turut hadir sama.

Lamaran yang dilakukan secara spontan ini hanyalah sebahagian daripada rangka promosi untuk filem terbarunya, Manisnya Cinta.