Contohi Melaka, Angkat Genegrasi Muda Sebagai Senator Dewan Negara – Shahidan

Kuala Lumpur – Kepimpinan di semua negeri digesa mencontohi langkah Kerajaan Negeri Melaka yang mengangkat pemimpin dari generasi muda sebagai Senator Dewan Negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, usaha itu harus dipuji sebagai proses meremajakan pentadbiran negara dan politik selaras dengan tuntutan hari ini.
“Kita baru menyebut dalam Perhimpunan Agung Umno lepas dan semua aktiviti kita betapa pentingnya penyertaan generasi Y dalam pentadbiran dan politik.
“Pelantikan Senator Zali adalah contoh yang baik daripada kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dan sokongan kerajaan negeri Melaka untuk menganggotai Dewan Negara sebagai proses meremajakan pentadbiran dan politik,” katanya kepada pemberita di lobi bangunan Parlimen, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas pelantikan Ketua Pemuda Umno Melaka, Zali Mat Yasin sebagai salah seorang Ahli Dewan Negara baharu yang mengangkat sumpah di bangunan Parlimen, hari ini.
Shahidan juga berkata pemilihan Senator itu adalah selaras dengan agenda peremajaan Umno untuk menarik minat dan penglibatan generasi muda dalam semua peringkat sama ada parti mahupun pentadbiran kerajaan.
Dalam pada itu, Shahidan selaku Pengerusi Umno Perlis juga akan mencadangkan supaya jawatan senator dan Speaker Dun di Perlis juga diberikan kepada generasi muda.
“Jika berlaku kekosongan senator di Perlis nanti, saya akan mencadangkan orang muda atau orang lama (berjiwa muda)yang paling layak untuk menduduki jawatan senator.
“Saya juga akan mencadangkan supaya jawatan Speaker Dun Perlis itu diberi kepada wanita.
“Perkara ini, kalau semua negeri pertahankan di tahap tersebut, jadi penyertaan orang muda itu tidak perlu di bising-bising lagi, ia akan berkesinambungan,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.