Alvin Bersifat Kelucahan Dan Kebinatangan Melampau – Zam

Kuala Lumpur – Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin menyifatkan blogger seks kontroversi, Alvin Tan dianggap sebagai revolusioner yang berani menentang kedaulatan Melayu dan agama Islam.

Beliau melalui entri terbaru di blognya berkata, Alvin bukanlah seorang tokoh besar dalam sesuatu bidang namun terkenal kerana sifat kelucahan dan kebinatangan yang melampau.

“Tetapi sekarang dia dapat membina dirinya di luar dan juga dalam negara sebagai seorang juara kemanusiaan, liberal dan demokrasi yang terulung malah kepada kaumnya di Malaysia dia seorang revolusioner yang berani menentang kedaulatan Raja Melayu,” katanya.

Menurut beliau, tindakan Alvin yang secara terang terangan menghina dan melabel Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebagai pengecut mendapat sokongan daripada penyokong liberalisme di Malaysia.

“Penyokong-penyokong liberalisme di Malaysia sedang memberikan tepukan kepadanya kerana berani menghina Menteri Dalam Negeri atau KDN sebagai pengecut.

“Ini adalah proses mental revolusi yang berlaku begitu pantas di Malaysia yang dalam jangka masa yang singkat tidak lagi mengejutkan rakyat, telah menjadikan yang luar biasa kepada biasa, telah dapat menukarkan yang lucah kepada bermaruah, yang hina kepada mulia dan yang bermaruah kepada taraf paling rendah,” ujar Zam.

Malah kata beliau, blogger lucah terbabit secara tidak langsung telah mendapat publisiti utama atau dipromosikan di Malaysia.

“Ini berlaku kerana ketidakcekapan, kelonggaran dan kelemahan dalam pengurusan undang-undang di Malaysia. Semuanya bisa bolos.

“Masyarakat antarabangsa sekarang semakin jelas tentang betapa lemahnya sistem kehakiman dan perundangan di Malaysia,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa, keadaan itu semakin teruk setelah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dihapuskan.

“Kenyataannya ialah, maruah kita sebagai bangsa beragama dan beraja semakin teruk sejak ISA dihapuskan yang disusuli dengan kebuasan nafsu untuk mencari nama besar dengan cadangan menghapuskan Akta Hasutan 1948.

“Walaupun tidak terjadi tetapi harga yang telah dibayar dan sedang dibayar ialah tergadainya maruah kedaulatan suatu bangsa dan agama,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.