Akur Dengan Titah TMJ, IJF Hanya Akan Menonton Di Restoran Mamak

Kuala Lumpur – Akur dengan titah Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mengharamkan Inter Johor Firms (IJF) daripada memasuki Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, kumpulan penyokong itu hari ini mengumumkan pembubaran mereka.

Dalam status yang dimuat naik di laman Facebook dipercayai milik kumpulan itu, IJF berkata akan menonton perlawanan bola sepak di restoran mamak selepas mereka turut dilarang memasuki mana-mana stadium yang membabitkan perlawanan dengan pasukan negeri Johor.

“Apapun yang terjadi ada hikmahnya. Lepas ini penyokong Malaysia janganlah risau, takkan nampak lagi kelibat kami di stadium anda malahan di stadium kami sendiri.

“Lepas ni kami tengok bola kat mamak ramai-ramai. Kami buat sebab kami akur dengan titah DYAM Tunku Mahkota Johor kami, bukan sebab anda semua,” katanya.

Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) dalam satu kenyataan hari ini berkata, keputusan dibuat bukan kerana insiden yang berlaku di Stadium Shah Alam pada Ahad, tetapi Tunku Ismail mengutuk sekeras-kerasnya mana-mana organisasi yang mengamalkan ideologi ‘Hooligan’ dalam menyatakan sokongan mereka terhadap pasukan.

Mengulas mengenai insiden penyokong Harimau Malaya yang mengasari penyokong Vietnam sehingga ada yang tercedera, IJF tidak menafikan pembabitan ahli mereka.

Bagaimanapun kata IJF, banyak lagi ahli penyokong bola sepak seperti Boys of Straits (BOS) dari Johor, Ultras Malaya (UM) dan penyokong biasa yang turut memakai topeng sewaktu menyaksikan perlawanan di stadium.

“Rentetan dengan isu di Shah Alam, semua pihak menuding jari ke arah kami kononnya kami punca semuanya. Bukan nak menafikan tetapi di sini saya ingin bertanya, berapa ramaikah yang bertopeng dan berjaket hitam di Stadium Shah Alam semalam?

“Isu memukul penyokong Vietnam, adakah betul IJF yang buat?,” soal IJF.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.