Akim Tertekan Dengan Dakwaan ‘Lalok’ Ketika Persembahan

Penyanyi Akim Ahmad mengakui dakwaan kononnya dia beraksi ‘lalok’ atau di bawah pengaruh dadah ketika menyampaikan lagu Mewangi pada pertandingan separuh akhir ketiga Muzik-Muzik ke-29 sangat memberi kesan kepada kerjayanya.

Dakwaan itu bukan saja mengecewakan ibu bapanya tetapi penyanyi berusia 23 tahun ini menyatakan kontroversi itu sedikit sebanyak mengugat reputasi dan kepercayaan pihak pengurusan serta beberapa pihak lain.

Pada majlis Anugerah Industri Muzik ke-21 (AIM21) berlangsung pada malam Sabtu lalu, bekas peserta program realiti Akademi Fantasia (AF7) memenangi anugerah Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu.

Kemenangan itu sekaligus menepis tuduhan yang dilemparkan dan Akim yang membuat persembahan bersama kumpulan The Majistret pada malam itu menegaskan dia tidak pernah membodohkan diri mengambil dadah sebelum tampil dalam mana-mana persembahan.

“Memang isu itu sangat memberi kesan kepada kerjaya saya apabila perlu berdepan dengan pengurusan saya dan beberapa pihak lain terutama ibu bapa saya.

“Ibu saya mengalir air mata apabila membaca isu ini di akhbar. Saya tidak pernah membuat atau berada dalam keadaan seperti apa yang didakwa.

“Di YouTube ada video menunjukkan apa sebenarnya yang saya buat sewaktu dibelakang pentas sebelum persembahan tempoh hari. Dakwaan itu tidak benar dan jika saya buat ertinya saya kecewakan ibu bapa saya,” katanya kepada Malaysian Digest.

Katanya, dia berharap penyebar fitnah itu agar bertaubat.

“Jika kemenangan pada malam ini boleh memberi persepsi positif, itu sudah membuatkan saya lebih gembira.

“Trofi sebagai satu pengiktirafan yang saya boleh banggakan. Ini satu semangat untuk saya terus berjalan dengan lebih baik lagi dalam industri ini,” katanya.

Perkembangan lain, selepas single Mewangi mendapat sambutan positif peminat, Akim bersama kumpulannya sedang dalam proses melancarkan single terbaru mereka yang menjanjikan sesuatu berbeza daripada sebelum ini.

“Sejujurnya, selepas Mewangi memang rasa tertekan untuk menghasilkan lagu yang lebih baik yang diterima ramai tetapi saya menganggap itu sebagai satu suntikan semangat.

“Kami akan melancarkan single terbaru tak lama lagi dan lirik serta lagunya dalam proses.

“Insha Allah kami merancang mahu melakukan proses rakaman di luar studio. Maksudnya kami mungkin selitkan juga bunyi sekeliling dalam lagu sebagai satu kelainan yang cuba kami berikan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.