3 Maut, 10 Cedera Dalam Kemalangan Bas Ekspress Dan 2 Lori Treler

Seremban – Tiga disahkan maut manakala sepuluh cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah bas ekspress dan dua buah lori treler di kilometer 265.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), arah utara petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.35 petang itu, sebuah treler yang tidak membawa sebarang muatan dipercayai terbabas dan melanggar sebuah bas ekspress yang membawa sembilan orang penumpang dari arah bertentangan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, akibat pelanggaran itu, pemandu bas ekspress gagal mengawal kenderaan dan melanggar sebuah lori yang berada di kawasan pembinaan jalan di sebelah kiri menghala ke utara.

Menurutnya, mangsa yang maut ialah pemandu bas, 56 tahun, pemandu treler dan seorang wanita berusia 34 tahun yang merupakan penumpang bas ekspress.

“Sembilan mangsa yang cedera ringan berusia 18 hingga 59 tahun dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar kerana mengalami cedera ringan namun seorang mangsa yang berusia 26 tahun dimasukkan ke unit rawatan rapi kerana cedera parah di kepala.

“Ada di antara mangsa yang cedera adalah warga asing dari Sepanyol dua orang dan seorang warga Bangladesh sementara yang lain warga tempatan,” katanya.

Beliau berkata, punca kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berikutan kejadian itu, lebuh raja mengalami kesesakan teruk dari kedua-dua arah dan hujan lebat menyukarkan kerja-kerja pembersihan dan menyelamat di lokasi kejadian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.