2 Dari 4 Mayat Mangsa Kebakaran Di Singapura Diserahkan Kepada Waris

Johor Bahru –  Jasad dua daripada empat rakyat Malaysia yang terkorban dalam kebakaran sebuah asrama di Geylang pada awal hari Sabtu, diserahkan kepada waris masing-masing hari ini(Isnin).

Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Kamsiah Kamaruddin berkata jasad yang diserahkan itu adalah Jubitol Rumanjing, 37, dan Maslan Musundo, 43.

Katanya, jenazah mereka diterbangkan dari sini ke Kota Kinabalu menerusi penerbangan MI382 yang berlepas pada 2.40 petang dan dijadual tiba pada 7 petang.

Jenazah itu kemudiannya akan dibawa ke Kota Marudu selepas perjalanan lima jam dari Kota Kinabalu.

Jubitol dan Maslan, dari Kampung Mangkapon, Pitas di Sabah, adalah antara empat rakyat Malaysia yang terkorban akibat kebakaran sebuah rumah kedai yang juga asrama di Lorong 4, Geylang, di Singapura.

Dua lagi rakyat Malaysia yang maut ialah Yusof Masrong, 49, dari Kampung Ulu Bungin di Staoh, Sibu, Sarawak, dan Ramu Kotiah, 50, yang jasad masing-masing dituntut oleh waris mereka pada Ahad. Lapan orang cedera dalam kebakaran itu.

Kamsiah berkata jenazah Yusof diterbangkan ke Kuching dengan penerbangan MH642 Malaysia Airlines pada 12.50 tengah hari ini, dan tiba di Kuching pada 2.50 petang, manakala mayat Ramu pula dibawa ke rumahnya di Taman Bertuah, Tasek, Ipoh, semalam.

Sementara itu, Muslin, saudara lelaki Maslan, masih ditempatkan di unit rawatan rapi Hospital Besar Singapura. Dia melecur 35% di dada dan tangan.

Kamsiah berkata Suruhanjaya Tinggi Malaysia menyalurkan bantuan kaunselor kepada keluarga semua mangsa.

“Kami turut mengatur urusan bagi membolehkan anggota keluarga mengiringi jenazah,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.