Lim: Tiada pertukaran nama Pulau Jerejak

Ketua Menteri Lim Guan Eng menjelaskan kerajaan negeri tidak pernah meluluskan pertukaran nama Pulau Jerejak kepada ‘Pulau Mazu’ seperti didakwa sesetengah pihak.

“Kerajaan negeri tidak pernah berikan kelulusan itu. Untuk beliau (Datuk Jahara Hamid) membuat dakwaan seperti itu, jahat seribu jahat. Jangan berlagak macam ketua pembangkang yang dulu, cakaplah yang benar,” katanya dalam sidang akhbar di Georgetown hari ini.

Lim berkata beliau sedang menunggu laporan daripada pihak berkenaan berhubung isu ini.

“Kami akan jawab isu ini. Saya masih menunggu laporan daripada pegawai pejabat tanah. Sehingga saya menerima laporan itu, saya tidak akan mengulas lanjut isu ini,” katanya.

Terdahulu, ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2014 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Ketua Pembangkang Datuk Jahara Hamid (BN-Teluk Air Tawar) mahu kerajaan negeri menjelaskan mengenai nama Pulau Mazu yang didakwa sebagai nama baru kepada Pulau Jerejak.

Mengulas dakwaan Jahara bahawa berlakunya pilih kasih berhubung tindakan diambil terhadap peniaga Melayu dan Cina di Pantai Bersih, Butterworth, Lim berkata ketua pembangkang itu sepatutnya tidak menjadikan ia sebagai isu perkauman.

“Janganlah main isu perkauman. Kalau nak cakap mengapa tidak ada tindakan, kita sedia terima. Tetapi jangan cakap mengapa tidak ada tindakan ke atas peniaga Cina tetapi ambil tindakan ke atas peniaga Melayu,” katanya.

-Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.