Jambatan taktikal di Sg Limbong dibuka petang tadi

KEMAMAN 9 Dis. – Laluan di pusat bandar Chukai yang terputus akibat Jambatan Sungai Limbong runtuh pada Khamis lepas, kini dibuka semula selepas satu jambatan taktikal siap dibina oleh Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) pada 3 petang tadi.

Pegawai Pemerintah RAJD Kem Desa Pahlawan, Kelantan Mejar Nik Amir Nik Yaakob berkata pembinaan jambatan sementara sepanjang 20 meter itu mengambil masa hampir tujuh jam selepas dimulakan seawal pukul 3 pagi.

“Jambatan taktikal ini mampu menampung kenderaan seberat 60 tan dalam satu-satu masa melaluinya.

“Ia siap sepenuhnya sekitar pukul 9 pagi tadi dan dibuka enam jam kemudian.

Kita harap jambatan sementara ini mampu memulihkan semula perhubungan di pusat bandar daerah ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata pembinaan jambatan itu dilakukan seramai 40 anggota tentera dan seorang pegawai RAJD Kem Desa Pahlawan dengan dibantu Unit Ke-11 RAJD Kem Batu Tiga, Temerloh, Pahang.

Nik Amir berkata jambatan sementara itu mampu memulihkan aliran trafik di kawasan berkenaan.

“Jambatan sementara ini akan digunakan sehingga Jambatan Sungai Limbong yang asal siap dibaiki,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.