“Saya Berhabis Duit Untuk Laporan Perubatan, Tapi KWSP Abai Rayuan Saya” – Wanita OKU

KUALA LUMPUR – Sedih, terkilan dan kecewa, itu perasaan yang sedang dialami seorang wanita orang kurang upaya (OKU) apabila rayuannya untuk mengeluarkan wang simpanan KWSP menerusi Pengeluaran Hilang Upaya seakan diabaikan oleh agensi kerajaan itu.

“Saya berhabis duit untuk laporan perubatan dan kos perjalanan saya ke temuduga dan ke pejabat KWSP Batu Pahat.

“Saya ni nak guna duit untuk keperluan (rawatan dan sara hidup) saya saja, bukan nak enjoy. Kenapa mereka (KWSP) tu susah sangat nak faham?

“Mungkin sakit saya mereka anggap tak teruk sebab saya boleh urus diri, nampak saya bepakaian elok,” keluh Puan Fauziah, wanita OKU yang mengalami masalah major depresive disoder dan pshycosis selepas melahirkan anak sulung.

Bercerita lebih lanjut kepada SuaraTV, Fauziah turut meluahkan rasa sedih apabila salinan kad OKU dan surat rayuannya untuk Pengeluaran Hilang Upaya kepada KWSP itu dipulangkan semula.

“Hari itu saya bagi salinan (kad) OKU saya, KWSP pulang balik pada saya, macam seolah tak perlu la tunjuk kat dia. Macam tiada nilai je salinan kad OKU saya tu.

“Mungkin kekurangan saya ini sebabkan orang buat saya macam pengemis,” ujarnya sedih dan kesal dengan layanan yang diterima.

Fauziah kini terpaksa berulang alik sejauh 110 kilometer pergi dan balik, hampir setiap minggu untuk rawatan susulan di sebuah hospital kerajaan di Batu Pahat.

Untuk menampung kehidupan sekeluarga, selain bergantung pada pendapatan suami, Fauziah cuba berniaga makanan dari rumah dengan mengambil tempahan atas talian, namun kurang mendapat sambutan.

“Hari ini tak seorang pun order makanan. Saya cari duit sikit-sikit jual makanan. Saya jual online je, tapi susah nak dapat pelanggan.

“Saya tunggu juga kot-kot ada yang beli, (kalau ada) dapat saya duit sikit,” katanya, ketika berkongsi kisahnya kepada SuaraTV.

Fauziah turut memberitahu ada memohon bantuan kebajikan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak sebulan lalu, namun belum mendapat sebarang khabar berita.

“Saya ada mohon bantuan bulanan JKM, tapi belum ada apa-apa lagi. Baru mohon sebulan lalu, mungkin kalau saya dapat bantuan itu saya taklah susah macam sekarang ni,” katanya.

Berita berkaitan:- Wanita OKU Kecewa KWSP Tolak Rayuan Pengeluaran Hilang Upaya

Sementara itu, tinjauan SuaraTV di laman Facebook KWSP Malaysia, mendapati berita sebelumnya mengenai Fauziah telah dikongsikan netizen di ruangan komen Facebook agensi itu.

“Terkilan membaca luahan hati akak ni mohon budi bicara KWSP, kasihan lah orang-orang yang tersepit,” ujar Din yang menyertakan paparan berita berkenaan di ruangan komen.

 Dalam reaksinya, pentadbir laman Facebook KWSP memberitahu tindakan telah diambil bagi menyelesaikannya.

“Salam sejahtera Din. Terima kasih atas maklum balas, tindakan telah diambil untuk bantuan lanjut. Terima kasih. RY,” balasnya.

SuaraTV mengajukan jawapan pentadbir laman facebook KWSP itu kepada Puan Fauziah untuk tujuan pengesahan dan beliau memberitahu belum menerima sebarang bantuan, namun mengakui ada mendapat satu panggilan dari nombor 03-8922 4000 pada Jumaat, tapi tidak sempat dijawab.

“Saya tak sempat angkat call. Adakah ini (03-8922 4000) dari KWSP?. Cuma sekali saja call,” ujarnya, yang berharap jika benar itu panggilan dari KWSP, mereka akan menghubunginya sekali lagi. – SuaraTV

Lain-lain berita;

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.