Perlekeh Rakan Sepakatan, MB Perak Perlu Mohon Maaf – DAP

IPOH – DAP Perak menuntut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memohon maaf kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di atas keterlanjuran kata-katanya yang bercanggah dengan semangat muafakat PH.

Setiausahanya, Wong Kah Woh berkata, kata-kata Ahmad Faizal yang juga Pengerusi PH Perak melalui rakaman video yang tular itu amat dikesali dan sangat memalukan.

Beliau berkata, tindakannya yang mengangkat wakil pembangkang sambil memperlekehkan sahabat dalam PH tidak boleh diterima sama sekali.

“DAP Perak pada setiap masa mendokong muafakat PH dan percaya bahawa gabungan politik ini mampu membawa perubahan dan menjana harapan baru kepada rakyat pelbagai kaum melalui pelaksanaan manifesto PH. DAP Perak percaya mandat rakyat adalah mandat kepada PH, bukan mana-mana individu.

“Oleh itu, tingkah laku Menteri Besar Perak yang bertindak mengikut rentak pembangkang gagal menunjukkan integriti yang wajib dipamer oleh seorang pemimpin, khususnya di dalam PH,” katanya melalui kenyataan media semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas rakaman video perbualan Ahmad Faizal ketika membantu calon PH bagi Pilihanraya Kecil Parlimen Tanjung Piai, Karmaine Sardini yang tular semalam.

Bagaimanapun, Ahmad Faizal menafikan beliau mempunyai masalah dengan DAP di Perak.

Beliau yang bercakap kepada portal berita Free Malaysia Today berkata, kata-katanya di dalam video yang tular dipetik di luar konteks.

Sementara itu, Kah Woh berkata, sebagai menteri besar dan Pengerusi PH Perak, Ahmad Faizal seharusnya menunjukkan contoh kepimpinan yang baik.

“Saya menegaskan bahawa semangat permuafakatan PH harus didokong setiap masa dan Menteri Besar Perak selaku Pengerusi PH Perak seharusnya memimpin melalui teladan bukan sebaliknya.

“Saya menggesa Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memohon maaf kepada Majlis Presiden PH atas insiden ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menyifatkan kata-kata Menteri Ahmad Faizal itu sebagai memalukan.

Menurutnya, Ahmad Faizal tidak layak menjadi menteri besar PH jika menganggap DAP sebagai musuh di dalam kerajaan Perak.

Beliau berkata, mandat yang dikongsi bersama antara komponen PH tidak harus dipertikaikan malah sudah menjadi tugas sebagai menteri besar untuk meyakinkan rakyat akan ketelusan pakatan ini.

Lain-lain berita;

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.