Nasib Ada PRK Tanjung Piai, Kalau Tidak Sampai Bila Tak Dapat Bantuan – Nelayan

KUKUP – Beberapa orang yang ditemui di Kukup berkata pemberian wang saguhati RM1,000 kepada nelayan di Johor Selatan yang diumumkan kelmarin belum memadai untuk mendorong mereka mengundi Pakatan Harapan (PH).

Seorang nelayan, Mohamad Din Hassan berkata, janji wang sagu hati itu tidak ditunaikan dari awal tahun ini.

“Dulu janji nak bagi RM3,000 tetapi turun kepada RM1,000. Janji sebelum bulan puasa sampai sekarang tak dapat-dapat lagi.

“Ini nasib ada pilihan raya kecil (PRK Tanjung Piai), kalau tidak sampai bila tak dapat (bantuan),” keluhnya dan menambah sejak PH memerintah, kehidupannya semakin terbeban.

Terdahulu Menteri Besar Johor, Dr Sahruddin Jamal berkata, pemberian wang saguhati RM1,000 kepada nelayan di Johor Selatan yang diumumkan kelmarin adalah inisiatif tahunan yang pernah dilaksanakan beberapa tahun sebelum ini.

Justeru katanya, pengumuman beliau tentang pemberiannya tidak perlu dijadikan isu pada PRK Parlimen Tanjung Piai yang sedang berlangsung.

Sahruddin berkata, wang itu adalah daripada kerajaan negeri dan ia akan dilaksanakan minggu depan seperti yang diumumkan.

Dalam pada itu, Mohamad Din, 50, berkata, kehidupannya sebagai nelayan semakin menderita dan percaya jika Barisan Nasional (BN) menang, nasib mereka lebih terbela.

“BN ada suara untuk nelayan, tetapi PH lebihkan peniaga dan banyak jual aset negara,” katanya.

Sementara itu, Umar Aman, nelayan di Kukup berkata, sudah hampir dua tahun beliau tidak mendapat elaun sara hidup nelayan.

Umar, 49, bagaimanapun tidak pasti apakah punca beliau tidak lagi mendapat elaun sara hidup itu walaupun sebelum ini beliau memperolehinya semasa kerajaan BN.

“Hampir dua tahun tak dapat apa-apa bantuan nelayan. Selepas PH menang, subsidi minyak untuk nelayan juga dah tak ada.

“Bila ditanya kenapa tidak dapat, kita disuruh pergi ke Jabatan Perikanan negeri Johor. Nak pergi sana kosnya tinggi, selain masa perjalanan lagi. Mana kita mampu,” katanya.

Umar berkata, selagi beliau tidak mendapat wang sagu hati itu maka selagi itulah beliau tidak akan percayakan PH.

“Kehidupan cukup-cukup makan. Sehari pendapatan RM30 ke RM40. Lepas tolak duit minyak dan jaring tinggal berapa?

“Pada saya lebih baik BN, sikit-sikit pun masih dapat juga,” katanya.

Umar yang mempunyai tiga anak dan salah seorangnya Orang Kurang Upaya (OKU) berkata, elaun anaknya juga dipotong daripada RM300 kepada RM200.

“Elaun OKU juga dipotong RM100. Bulan lepas dapat RM150 dan bulan ini tak masuk lagi,” katanya.

Seorang lagi nelayan, Handiri Darno, 21 berkata kehidupan mereka jelas semakin terbeban kini dan beliau terpaksa bekerja keras melakukan pelbagai pekerjaan bagi menampung keperluannya.

“Jika hujan atau angin ribut tak dapat turun ke laut. Jadi saya berharap akan ada perubahan untuk nelayan,” katanya.

Pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai 16 Nov depan menyaksikan persaingan enam penjuru antara calon PPBM-PH Karmaine Sardini, calon MCA-BN Wee Jeck Seng, Wendy Subramaniam (Gerakan), Badrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) dan dua calon Bebas, Ang Chuan Lok dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar.

Lain-lain berita;

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.