Ketegasan itu disuarakan oleh Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang turut mendesak kerajaan menghentikan langkah-langkah menjejaskan pembinaan masyarakat selama ini melalui persefahaman bersama memandangkan ICERD, dakwa beliau, menentang semangat Perlembagaan Persekutuan.

“Sebagai program pertama, UMNO Pusat akan mengambil alih semua program utama tentang ratifikasi ICERD dan akan bermula dengan Badan Perhubungan UMNO Perak pada 17 hari bulan.

“Pasir Salak akan menjadi tuan rumah. Saya akan berucap sepentas dengan Presiden Pas (Datuk Seri Abdul Hadi Awang). Kedua-dua parti jelas tolak ICERD,” kata beliau dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn, di sini hari ini.

Mesyuarat berlangsung kira-kira tiga jam.

Ahmad Zahid jug memberitahu, ICERD adalah agenda utama mesyuarat apabila menjadi isu pertama yang diberikan perhatian.

Katanya, ratifikasi ICERD telah dibincangkan secara terperinci dengan UMNO komited menolak konvensyen itu bersama parti-parti politik lain dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Pemuda UMNO dan Dewan Pemuda Pas akan bergerak ke negeri-negeri bagi melaksanakan terjemahan penolakan kami di peringkat parti secara keseluruhannya,” jelas beliau. – UTUSAN ONLINE