Tidak Ada Perbincangan Perlu Berehat Atau Letak Jawatan – Zahid Hamidi

Oleh: Naimah Shaari

 

KUALA LUMPUR – Tidak ada sebarang perbincangan untuk berehat atau letak jawatan dari memegang jawatan Presiden UMNO, kata Datu Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden UMNO itu berkata demikian ketika sidang akhbar selepas selesai mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang diadakan di Menara Dato’ Onn, sebentar tadi.

Tambah Zahid, tidak ada yang bersetuju untuk beliau berehat atau meletakkan jawatan dalam parti.

Sebaliknya, ia hanyalah cadangan daripada Pemuda UMNO yang mahu dipertimbangkan oleh MT.

”Tiada perbincangan untuk cuti presiden, tak ada yang bersetuju. Pemuda UMNO hanya cadangkan dan harap dipertimbangkan oleh MT,” ulas Zahid ketika ditanya mengenai isu ini.

Terdapat tiga perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat MT kali ini.

Ia mengenai pembentangan bajet parti UMNO yang akan dibentangkan oleh Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Perkara kedua yang dibincangkan adalah mengenai penggunaan dana Petronas lebih dari RM30 bilion tambahan dari jumlah yang dilulukan oleh kerajaan terdahulu yang dikhuatiri akan mengurangkan pengukuhan dana simpanan yang dipegang oleh Petronas.

Selain itu, Zahid memberitahu perbincangan mengenai pengukuhan institusi diadakan supaya UMNO dapat terus bergerak ke hadapan dan meletakkan titik noktah kepada setiap perbezaan pendapat yang timbul bagi menolak usaha beberapa pihak yang cuba untuk memecah belahkan UMNO.

Mengenai isu khabar angin Ahli Parlimen (MP) UMNO akan lompat parti, Zahid mengulas semua 48 MP UMNO yang didakwa akan tukar parti akan kekal bersama UMNO.

”UMNO tak perlu ketuk pintu atau diketuk. UMNO perlu bergerak sebagai parti yang kuat. Aset utama UMNO sekarang adalah MP yang ada yang akan tetap bersama kita.

”Yang pasti, mereka tetap tidak mahu tinggalkan UMNO dan kekal sebagai MP,” kata Zahid mengakhiri sidang media.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.