Taikun Beri RM300,000 Kepada Nga Kor Ming, PH Janji Jawatan Penasihat Ekonomi – Peguam

KUALA LUMPUR – Peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, semalam membuat dua laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa wujudnya rasuah membabitkan tokoh perniagaan (taikun), Koon Yew Yin serta beberapa individu dalam Kerajaan Negeri Perak.

Mohd Khairul berkata, maklumat mengenai wujudnya unsur rasuah itu diperoleh berdasarkan artikel diterbitkan pada 2 November lalu dalam blog milik tokoh perniagaan itu yang bertajuk ‘Perak Sultan has no right to stop my appoinment as economic adviser’ (Sultan Perak tidak mempunyai kuasa menghentikan perlantikan saya sebagai penasihat ekonomi).

Katanya, menerusi artikel yang kemudian dipadamkan sendiri oleh Yew Yin, tokoh perniagaan itu mengaku menyumbang ratusan ribu ringgit kepada parti dalam Pakatan Harapan dan sebagai balasan, beliau dijanjikan jawatan sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Perak.

“Pengakuan itu jelas membuktikan berlakunya amalan rasuah membabitkan Yew Yin dan kerajaan negeri Perak selain beberapa parti yang menerima dana sumbangan politik darinya.

“Jadi, saya minta SPRM untuk menyiasat Yew Yin atas jenayah rasuah yang diakui sendiri oleh beliau dalam artikel tulisannya sendiri,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di SPRM Kuala Lumpur, semalam.

Mohd Khairul berkata, SPRM juga perlu menyiasat Menteri Besar perak, Datuk Seri Faizal Azumu berdasarkan janji bagi melantik tokoh perniagaan itu sebagai penasihat ekonomi.

Selain itu, Mohd Khairul berkata, SPRM juga perlu menyiasat Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming yang menerima derma secara peribadi RM300,000 sebagaimana didedahkan tokoh perniagaan dalam artikel kedua ditulis dalam blog yang sama bertarikh 5 November lalu.

Katanya, menerusi artikel itu, Yew Yin mengaku menderma RM200,000 secara peribadi kepada Nga Kor Ming berikutan Ahli Parlimen Teluk Intan itu tidak dapat menggunakan wang parti DAP secara bebas.

“Dalam artikel yang sama juga, Yew Yin menyatakan beliau memberi tambahan RM100,000 selepas Kor Ming mengetahui tidak terpilih menjadi Menteri Kabinet.

“Pemberian RM300,000 itu sebagai balasan kepada janji Pakatan Harapan Perak untuk melantik tokoh perniagaan itu sebagai penasihat ekonomi sebelum memuat naik artikel berkenaan bagi meluahkan rasa kecewa apabila tidak dilantik ke jawatan itu,” katanya.

Menurut Mohd Khairul laporan kepada SPRM itu dibuat berikutan dua artikel berkenaan dengan jelas membuktikan Yew Yin memberikan rasuah kepada Kor Ming, dan beberapa parti seperti dinyatakannya.

“Dua artikel berkenaan sempat saya tangkap layar (screen shot) sebelum ia dipadamkan dan boleh digunakan SPRM untuk siasatan rasuah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Razaliah Abd Rahman mengesahkan bahawa menerima maklumat yang disampaikan peguam berkenaan hari, namun tiada sebarang keterangan direkodkan. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.