Shahidan Buat Umrah Di Mekah, Mahkamah Keluar Waran Tangkap Tidak Hadir Bicara

KANGAR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini, mengeluarkan waran tangkap terhadap bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim kerana gagal hadir untuk menghadapi pertuduhan kes dipercayai mencabul seorang gadis bawah umur, baru-baru ini.

Waran itu dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Johari Abu Hassan setelah Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Nordin Ismail membuat permohonan tersebut.

Bagaimanapun Peguam, Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim yang mewakili Shahidan membantah pengeluaran waran tersebut kerana anak guamnya itu dan beliau sendiri tidak dimaklumkan mengenainya lebih awal.

“Saya mendapat tahu pengeluaran waran ini semasa berada di mahkamah pada pagi ini, sedangkan anak guam saya berada di luar kawasan,” katanya.

Berikutan itu, kata beliau, pihaknya akan memohon semula kepada mahkamah untuk membatalkan waran tangkap tersebut.

“Kes berprofail tinggi seperti ini perlulah dimaklumkan lebih awal, apatah lagi melibatkan seorang ahli politik.

“Shahidan pula menetap di Perlis, waran tangkap hanya dikeluarkan jika beliau melarikan diri,” katanya.

Dalam pada itu, berdasarkan status Facebook yang dimuat naik oleh Shahidan, Ahli Parlimen Arau itu sedang berada di Tanah Suci kerana menunaikan ibadat umrah.

Baru-baru ini tular dakwaan Shahidan mencabul seorang gadis berusia 15 tahun yang merupakan ahli kumpulan buskers yang ditaja oleh beliau.

Shahidan walau bagaimanapun menafikan perbuatan yang didakwa dilakukan pada 21 Oktober lalu itu, malah laporan polis terhadapnya oleh remaja tersebut telah ditarik balik.

Bapa remaja itu turut menyatakan bahawa keluarga mereka telah memaafkan perkara tersebut. – UTUSAN

One thought on “Shahidan Buat Umrah Di Mekah, Mahkamah Keluar Waran Tangkap Tidak Hadir Bicara

  • November 9, 2018 at 12:10 pm
    Permalink

    Salah tangkap dakwa hukum

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.