Begitu reaksi bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim ketika dihubungi untuk diminta mengulas berhubung waran tangkap yang dikeluarkan terhadapnya oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Shahidan walau bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika diminta menjelaskan maksudnya itu.

Mahkamah Sesyen di sini hari ini, mengeluarkan waran tangkap terhadap Shahidan kerana gagal hadir untuk menghadapi pertuduhan kes dipercayai mencabul seorang gadis bawah umur, baru-baru ini.

Waran itu dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Johari Hassan setelah Ketua Pendakwa Raya Perlis, Mohd. Nordin Ismail membuat permohonan tersebut.

Peguam, Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim yang mewakili Shahidan membantah pengeluaran waran tersebut kerana anak guamnya itu dan beliau sendiri tidak dimaklumkan mengenainya lebih awal.

Beliau mendakwa mendapat tahu pengeluaran waran itu semasa berada di mahkamah pada pagi tadi.

Dalam pada itu, kes berkenaan akan disebut semula Isnin ini untuk kehadiran Shahidan.

Sementara itu, berdasarkan status Facebook yang dimuat naik oleh Shahidan, Ahli Parlimen Arau itu sedang berada di Tanah Suci kerana menunaikan ibadat umrah.

Baru-baru ini tular dakwaan Shahidan mencabul seorang gadis berusia 15 tahun yang merupakan ahli kumpulan buskers yang ditaja oleh beliau.

Shahidan walau bagaimanapun menafikan perbuatan yang didakwa dilakukan pada 21 Oktober lalu itu, malah laporan polis terhadapnya oleh remaja tersebut telah ditarik balik.

Bapa remaja itu turut menyatakan bahawa keluarga mereka telah memaafkan perkara tersebut. – UTUSAN ONLINE