Najib Beri Amaran, Negara Akan Dilanda Krisis Ekonomi Disebabkan Langkah Populis Kerajaan PH

SHAH ALAM – Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi amaran negara bakal berdepan dengan krisis ekonomi disebabkan langkah populis kerajaan Pakatan Harapan (PH) memansuhkan cukai GST, yang akhirnya menyebabkan negara terlalu bergantung dengan hasil petroleum.

Meluahkan kegusarannya menerusi satu status di Facebook, Najib berkata tindakan kerajaan yang ‘memaksa’ Petronas membayar dividen sebanyak RM26 bilion pada 2018 dan RM54 bilion pada 2019 merangkumi dividen istimewa sekali gus berjumlah RM30 bilion sebagaimana yang diumumkan dalam Belanjawan 2019, minggu lalu, lebih memburukkan keadaan.

Najib turut membuat perbandingan bagaimana kerajaan BN sewaktu di bawah teraju beliau, menguruskan ekonomi sehingga mampu meninggalkan sekitar RM150 bilion di dalam rizab tunai Petronas.

“Rizab ini naik berganda kerana kerajaan BN sepanjang 9 tahun ini tidak memaksa Petronas untuk membayar dividen berlebihan setiap tahun dan tidak memanggil Petronas untuk menyalur dana untuk projek-projek mega yang tiada kaitan dengan industri mereka.

“Seperti yang saya tulis baru-baru ini, rizab Petronas juga naik kerana kerajaan BN dengan pertolongan 1MDB pada tahun 2012 telah menyelesaikan masalah perjanjian berat sebelah IPP yang dulunya mengakibatkan Petronas menanggung kerugian berpuluh bilion Ringgit setiap tahun dalam bentuk subsidi gas kepada IPP milik swasta.

“Tahun 2017 dividen Petronas kepada kerajaan ialah RM16 bilion. 

“Tetapi, kerajaan PH hari ini akan memaksa Petronas untuk membayar dividen RM80 bilion iaitu RM26 bilion untuk tahun ini dan RM54 bilion pada tahun depan disebabkan oleh langkah-langkah populis yang tidak bijak seperti memansuhkan GST.

“Tindakan ini menyebabkan syarikat penarafan antarabangsa menurunkan prospek penarafan Petronas dari stabil kepada negatif,” tulisnya.

Beliau merujuk kepada penarafan oleh Moody’s Investors Service yang mengubah penilaian prospek Petronas daripada stabil kepada negatif.

Moody’s dalam satu kenyataan semalam berkata, keputusan mengubah penarafan itu dibuat kerana profil kewangan Petronas mungkin merosot sekiranya kerajaan terus meminta syarikat minyak negara itu membayar dividen yang tinggi, terutama ketika penurunan harga minyak.

Mengulas lanjut kata Najib, beliau sebelum ini sudah memberi amaran bahawa langkah kerajaan untuk bergantung kepada unjuran harga minyak pada paras US$70 adalah ibarat menjerut leher sendiri kerana harga minyak dunia tidak stabil dan tertakluk kepada faktor geo-politik. 

“Pada masa saya berucap di Dewan Rakyat, harga minyak dunia antara US$79 hingga US$86 satu tong.

“Semalam telah jatuh kepada US$70 – sebagaimana amaran saya sebelum ini. 

“Jika harga jatuh lagi di bawah US$70 maka defisit bajet yang sudah tinggi untuk tahun depan akan bertambah teruk dan nilai matawang ringgit akan semakin menurun. Tekanan kepada kedudukan fiskal kerajaan juga akan berganda,” kata beliau.

Najib menambah, jika harga minyak untuk tahun depan turun di bawah US$70 seperti unjuran kerajaan PH, maka ekonomi Malaysia bakal mengalami krisis.

“Semenjak saya menjadi Perdana Menteri, kerajaan BN telah berusaha untuk mengurangkan kebergantungan kerajaan kepada hasil minyak setiap tahun dari 42% kepada 16% sahaja.

“Seperti yang ditunjuk di dalam carta di bawah, langkah ini berjaya dan ekonomi kita tidak lagi terdedah dengan risiko yang tinggi jika harga minyak tiba-tiba turun dengan banyak seperti berlaku pada tahun 2015 dan 2016 di mana harga minyak dunia rendah sehingga hanyaUS$28 satu tong. 

“Oleh kerana langkah yang kita ambil itu, negara kita terselamat dari krisis pada masa itu.

“Tetapi, kerajaan PH telah mengubah halatuju ini dan sangat bergantung kepada hasil minyak pada jumlah banyak untuk tahun 2019.

“Jika harga minyak untuk tahun depan turun di bawah US$70 seperti unjuran kerajaan PH dalam belanjawaan mereka maka ekonomi kita bakal mengalami krisis,” katanya lagi. -SuaraTv 

2 thoughts on “Najib Beri Amaran, Negara Akan Dilanda Krisis Ekonomi Disebabkan Langkah Populis Kerajaan PH

  • November 10, 2018 at 1:05 am
    Permalink

    Undang2 pun beri peringatan..salah tangkap dakwa tuduh hukum?? Amaran ni usah abaikan pula?? Ianya satu amaran ikhlas?? Amaran juga ya tak??

    Reply
  • November 10, 2018 at 10:40 am
    Permalink

    INSAALLAH NEGARA AKAN BANGKRAP DI BAWAH PENTADBIRAN KERAjaan BARU MALAYSIA..MEREKA NAK TUNJUK MEREKA LEBIH PANDAI MENTADBIR NEGARA KONON NYA ..TETAPI APA YANG KITA LIHAT SEKARANG EKONOMI NEGARA AKAN BERADA DALAM KEADAAN YANG TIDAK MENENTU..MUGA ALLAH MAKBULKAN CAKAP CAKAP PUAK PUAK MUNAFIK INI

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.