Kukuhkan Umno, Jangan Jadi Pemimpin Munafik, Kata Nazir

SHAH ALAM – Keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang terus menyokong kepimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden adalah keputusan yang tepat, di samping menunjukkan parti itu sudah keluar dari belenggu psikologi akibat kekalahan dalam pilihan raya umum lalu. 

Mengulas keputusan mesyuarat MT UMNO petang tadi, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa, Datuk Nazir Hussin Akhtar Husin berkata, apa yang penting pada ketika ini ialah semangat setiap ahli untuk mengukuhkan parti demi menjadi pembangkang yang konstruktif.

“Tahniah kepada Majlis Tertinggi UMNO yang telah membuat keputusan berani dan tegas untuk terus menyokong kepimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO. 

“Sebagai sebuah parti pembangkang kita harus mempertahankan bahawa seseorang itu tidak bersalah sebelum diputuskan oleh sistem kehakiman,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 25 Oktober lalu, Pemuda UMNO  mencadangkan Ahmad Zahid untuk bercuti seketika daripada jawatan presiden parti sehingga selesai kes pertuduhannya di mahkamah.

Ahmad Zahid ketika ini berdepan dengan 45 pertuduhan pecah amanah, menerima wang rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan lebih RM100 juta.

Dalam pada itu Nazir meluahkan rasa kesal kerana terdapat segelintir pemimpin yang cuba menjadi duri dalam daging sedangkan mereka diberi peluang oleh presiden walaupun kalah dalam pemilihan parti, Jun lalu.

“Saya juga ingin menzahirkan ucapan ‘takziah’ kepada agenda segerombolan kecil pemimpin UMNO termasuk yang kalah dalam pilihan raya lalu untuk menggulingkan Presiden. 

“Adalah mendukacitakan kumpulan ini yang terdiri dari beberapa orang ahli Majlis Tertinggi dan calon yang kalah dalam pemilihan lalu berusaha menghasut ahli akar umbi bagi memaksa Presiden berundur atau berehat.

“Ada antara mereka yang telah kalah dalam pilihan raya lalu, telah kalah dalam pemilihan UMNO tetapi masih diberi peluang oleh Ahmad Zahid untuk memegang jawatan lantikan. 

“Menyedihkan beliau telah memilih untuk menikam Presiden dari belakang,” katanya tanpa merujuk individu yang dimaksudkan secara spesifik.

Saran Nazir, adalah lebih baik pemimpin yang cuba untuk menikam Ahmad Zahid daripada belakang supaya meletakkan jawatan dan tidak perlu menjadi ‘munafik’.

 “Lebih aneh ada juga ahli kumpulan ini berada dalam mesyuarat MT tetapi tidak berkata apa-apa. Mengapa sibuk menghasut di belakang tetapi langsung tidak bersuara di dalam mesyuarat?

“Jangan lagi ada cakap-cakap menghasut di luar mesyuarat. Jika takut bercakap dalam mesyuarat tapi sibuk mengadu domba di luar maka baik letak jawatan sahaja.

“Yang lantikan tu baik letak jawatan terus daripada menjadi pemimpin fasik dan munafik seterusnya menjadi duri dalam daging dalam kepimpinan Ahmad Zahid,” katanya lagi. -SuaraTv 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.