Aktivis Pelajar Sambut Baik Maszlee Letak Jawatan Presiden UIA

PETALING JAYA – Aktivis pelajar yang mengadakan bantahan pelantikan Maszlee Malik sebagai presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), baru-bari ini melahirkan rasa gembira selepas menteri pendidikan itu sedia melepaskan jawatannya.

“Akhirnya beliau tunduk kepada kehendak masyarakat,” kata Asheeq Ali Sethi Alivi kepada FMT hari ini.

Asheeq, 23, yang merupakan presiden Gabungan Pembebasan Akademik Institusi Pengajian Tinggi (GPA-IPT) berkata berbaloi baginya dan beberapa aktivis mahasiswa yang mengadakan demonstrasi di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 9 September lalu.

“Berbaloi. Setelah seharian kami menghabiskan masa di KPM dan juga semalaman di balai polis,” katanya.

Beliau turut menggesa Maszlee tidak melambatkan proses mencari penggantinya dan berhati-hati dalam memilih pengganti.

“(Selain itu) berhenti campur tangan politik dalam universiti. Saya juga masih menunggu peletakan jawatan setiausaha politik beliau Nizam Murad sebagai ahli lembaga pengarah Universiti Utara Malaysia (UUM),” katanya.

Hari ini, Maszlee dilaporkan bersetuju melepaskan jawatan apabila pengganti yang sesuai dilantik selepas berdepan tekanan rakan Kabinet dan pemimpin Pakatan Harapan.

“Dia sedang melantik seseorang untuk mengganti tempatnya. Bagaimanapun proses itu mengambil masa kerana pelantikan perlu persetujuan perdana menteri dan Sultan Pahang,” kata seorang pembantu menteri pendidikan itu.

Maszlee dilantik bagi menggantikan Tan Sri Rais Yatim sebagai presiden UIAM ke-8. Bagaimanapun, pelantikan tersebut mendapat kecaman daripada ramai pihak antaranya aktivis pelajar.

Pada 9 September lalu, GPA bertindak mengadakan bantahan di pejabat menteri pendidikan, di Putrajaya.

Asheeq dan Siti Nurizzah Mohamad Tazali mengadakan tunjuk perasaan bantah duduk, bersama tidak lebih 10 pelajar dari beberapa universiti, di pejabat KPM sejak jam 8.00 pagi pada Jumaat dan Sabtu.

Bantahan itu menyebabkan Asheeq dan Nuizzah, 23, ditahan polis selepas enggan bersurai dari kawasan hadapan pagar masuk utama Parcel E, Putrajaya yang menempatkan beberapa kementerian termasuk KPM. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.