Ada Tangan Ghaib Kawal Pemilihan PKR Untuk Kepentingan Diri – Zuraida

PUTRAJAYA – Calon Naib Presiden yang bertanding dalam Pemilihan PKR, Zuraida Kamaruddin mendakwa wujud ‘tangan ghaib’ yang mengawal perjalanan proses pemilihan tersebut untuk kepentingan sendiri.

Beliau berkata, ini terbukti apabila Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR baru-baru ini mengeluarkan notis bagi mengarahkan pemilihan semula dilakukan di tiga cabang di Sabah.

Beliau merujuk kepada kenyataan Pengerusi JPP, Datuk Rashid Din yang mengesahkan pemilihan semula akan diadakan di cabang Tawau, Pensiangan dan Keningau, hujung minggu ini.

“Proses pemilihan Cabang Tawau, Pensiangan dan Keningau telah berlangsung mengikut tatacara yang betul.

“Namun JPP mengarahkan untuk mengadakan semula pemilihan dengan alasan tidak munasabah,” katanya.

Kata Zuraida, ahli parti sudah muak dengan drama politik yang tidak berkesudahan.

Tambahnya, ahli parti tidak mahukan kepimpinan yang tidak boleh berdikari dan mengharap sokongan dari pihak-pihak tertentu semata-mata bagi memastikan cita-cita peribadi mereka tercapai.

“Ada calon yang sering melakukan provokasi dan mengadu domba dalam usaha untuk meraih sokongan.

“Adalah penting untuk setiap anggota memilih calon yang dapat membingkai muafakat dalam usaha memperkukuhkan parti dan melaksana reformasi dalam erti kata yang sebenar.

“Saya dengan ini menyeru anggota PKR di Jelebu (Negeri Sembilan), Kuala Selangor (Selangor), Keningau (Sabah), Tawau (Sabah), Pensiangan (Sabah), Alor Gajah (Melaka), Masjid Tanah (Melaka), Tangga Batu (Melaka), Kota Melaka (Melaka), Jasin (Melaka) dan seluruh Negeri Sarawak yang bakal diadakan pemilihan pada hujung minggu ini untuk turun mengundi,” katanya.

JPP pada Rabu lalu mengeluarkan notis agar pemilihan semula diadakan di tiga cabang tersebut berikutan menerima banyak bantahan termasuk laporan polis.

Memetik kenyataan Rashid, proses pemilihan semula itu akan diadakan pada 10 November bagi cabang Keningau dan Tawau manakala cabang Pensiangan pada 11 November ini.

“Kita akan buat proses pemilihan yang baharu, cuba tanya dia (Rafizi) puas hati atau tidak.

“Kita (JPP) sentiasa menjalankan tugas dengan baik tanpa menyebelahi mana-mana pihak dalam pemilihan ini,” kata Rashid dipetik Sinar Harian.

Keputusan tidak rasmi setakat ini menyaksikan Datuk Seri Azmin Ali mendahului Rafizi Ramli dengan lebih 3,000 undi dalam persaingan timbalan presiden PKR. – SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.