Rakyat Pulau Pinang Luah Rasa Kecewa Masalah Banjir dan Tanah Runtuh

GEORGETOWN – Mangsa banjir Pulau Pinang meluahkan rasa kecewa atas tindakan kerajaan negeri yang didakwa gagal mentadbir dengan baik sehingga menyebabkan masalah banjir berlarutan.

Wakil Persatuan Anak Jati Pulau Pinang, Liew Yeow Hooi, berkata orang ramai boleh melihat sendiri perbezaan warna air banjir di Georgetown dan Butterworth yang berbeza.

“Air banjir di Georgetown berwarna kuning. Mana datang air ini? Bila bukit dipotong, hutan ditebang tidak ada lagi kawasan tadahan hujan.

“Air kuning ini bercampur tanah dan kita dapat lihat selut penuh di atas jalan dan masuk ke rumah kami,” katanya dalam video berdurasi kira-kira tiga minit yang tular di laman sosial ketika ini.

Bagi mangsa banjir, Tan Sim Bee, berkata rakyat Pulau Pinang masih trauma dengan kejadian tanah runtuh yang mengakibatkan kematian 11 pekerja di Tanjung Bungah pada 21 Oktober lalu.

“Ahad lalu, tujuh lagi nyawa terkorban akibat banjir. Jumlahnya sudah 18 orang. Sampai bila keadaan ini akan berlarutan?

“Kita boleh lihat tanah selut kini mendap di dalam longkang dan saliran, banjir akan berulang lagi,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.