PAS Desak P. Pinang Henti Lulus Projek Pembangunan Di Lereng Bukit

GEORGETOWN – Bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh berulang di Tanjung Bungah, kerajaan negeri pimpinan DAP didesak agar menghentikan sebarang pembinaan rumah mewah mahupun sederhana di lereng-lereng bukit di sekitar Pulau Pinang.

Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, kerajaan DAP kini dilihat ghairah memberikan kelulusan projek perumahan tanpa mengira kesannya kepada alam sekitar.

“Kerajaan Negeri kena isytiharkan pembangunan lereng bukit dihentikan segera kerana sudah banyak kes tanah runtuh berlaku di sekitar Tanjung Bungah yang mengorbankan 11 nyawa. Dan ini kejadian tanah runtuh yang terbaru berlaku di sini.

“Bangunan di lereng bukit pada hari ini tidak terjamin dan kerajaan negeri sepatutnya membuat kajian menyeluruh bahawa ia selamat atau pun tidak,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika mengadakan lawatan ke kawasan tanah runtuh tersebut hari ini.

Dalam pada itu, Pas Pulau Pinang juga melahirkan kebimbangan kerana projek yang diluluskan kerajaan negeri tidak mengambil kira aspek aliran air yang terdapat di kawasan lereng bukit di belakang projek pembinaan rumah mewah berkenaan.

“Kita bimbang dengan fenomena yang berlaku ini mengakibatkan pembangunan di lereng bukit tidak selamat dan harus dihentikan segera.

“Pembangunan di sini tidak mengambil kira faktor aliran sungai kerana ia dibina di laluan air ke laut. Lalu ia mengakibatkan hakisan tanah dan berlaku tanah runtuh.

Perkembangan terbaharu mengenai runtuhan tanah di kawasan pembinaan rumah mewah di lereng bukit di Tanjung Bungah mendapati runtuhan disebabkan tembok tahanan yang gagal berfungsi apabila terdapat aliran air dibawah tanah.

Ketika tinjauan MalaysiaGazette di kawasan terbabit mendapati air dari kawasan bukit masih mengalir ke sungai kecil. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.