Mangsa Banjir Boleh Ganti Dokumen Di JPN Secara Percuma

GEORGE TOWN – Mangsa banjir di Pulau Pinang boleh menggantikan dokumen penting mereka yang rosak atau hilang, dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) secara percuma.

Jurucakap JPN, Mohd Faizul Arifin berkata, dokumen penting seperti MyKad, sijil kahwin, sijil kewarganegaraan, sijil kelahiran boleh digantikan tanpa sebarang caj.

“Amalan standard di jabatan kita adalah untuk mengetepikan bayaran bagi dokumen yang hilang atau rosak akibat bencana seperti banjir dan kebakaran,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Anson Road pada Khamis.

Beliau berkata, pemohon perlu mendapatkan surat daripada pegawai daerah bagi mengesahkan mereka terjejas akibat banjir, bagi membolehkan gantian dokumen.

“Kita turut menerima laporan polis yang menyatakan secara khusus lokasi rumah yang terjejas akibat banjir, dan sebab kehilangan atau kerosakan dokumen berkenaan,” katanya.

Mohd Faizul turut menggesa mangsa banjir untuk membuat permohonan mereka secepat mungkin.

Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali turut mengumumkan bahawa mangsa banjir di Pulau Pinang yang berdepan dengan kehilangan pasport atau rosak boleh diganti secara percuma. – mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.