Korea Utara Bukan Pasukan Misteri Kata Vingada

Pengendali skuad kebangsaan, Nelo Vingada mengakui Korea Utara bukan pasukan misteri ke­rana beliau dan barisan kejurulatihan telah melakukan risikan awal sebagai persiapan untuk mengharungi saingan kelayakan Piala Asia 2019 menentang negara republik itu di Buriram, Thailand esok.

Jelasnya, berdasarkan beberapa keputusan terkini selain melihat sendiri aksi skuad lawan ketika bersaing pada kejohanan Piala Raja (King’s Cup) di Thailand baru-baru ini, kekuatan pasukan yang berada di ranking ke-134 dunia itu se­perti sudah boleh diduga.

“Saya telah menonton sendiri aksi mereka ketika tewas 0-3 kepada Thailand pada kejohanan Piala Raja sebelum ini. Pada waktu itu, saya lihat mereka memiliki beberapa pemain berkualiti yang beraksi dalam saingan liga utama di Korea Selatan dan Jepun, lapor Kosmo.

“Mungkin keputusan tersebut dilihat seperti berat sebelah tetapi mereka sebenarnya menunjukkan kualiti permainan yang lebih baik berbanding Thailand. Namun, selepas tewas 0-5 kepada Lebanon dalam aksi kelayakan terakhir, mungkin prestasi mereka sedikit merudum.

“Bagaimanapun, ia bukan satu jaminan buat kami kerana Korea Utara merupakan salah satu pasukan besar di rantau Asia yang pernah beraksi di pentas Piala Dunia. Justeru, mereka wajar dihormati walaupun berada di ranking yang tidak terlalu tinggi,” kata Vingada.

Sebagai rekod, Harimau Malaya bakal menentang Korea Utara sebanyak dua kali selepas aksi Kumpulan B yang dijadualkan berlangsung pada Mac dan Oktober lepas ditunda oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) disebabkan atas faktor keselamatan.

Mengulas lanjut, pengendali dari Portugal itu mengakui anak-anak buahnya kini dalam motivasi terbaik dan tidak mustahil dapat mengutip mata berharga dalam aksi yang dijadualkan berlangsung di Stadium I-Mobile, Buriram malam esok.

“Saya harap kali ini tuah memihak kepada kami selepas mengharungi rentetan perlawanan tanpa sebarang kemena­ngan pada peringkat antarabangsa. Saya percaya motivasi pemain semakin positif dan saya hanya mampu memberi inspirasi buat mereka agar melakukan yang terbaik,” katanya.

Skuad negara perlu meraih sekurang-kurangnya satu kemenangan untuk mencerahkan peluang melayakkan diri ke pentas akhir Piala Asia 2019 selepas hanya mengutip satu mata daripada tiga perlawanan sebelum ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.