Ketegasan, Kasih Sayang Hanis, Nad

BERGELAR ibu adalah anugerah yang diimpikan oleh setiap wanita berstatus isteri kerana kehadiran si kecil menjadi penyeri dalam rumah tangga yang dibina.

Kehadiran cahaya mata dalam isi rumah tangga membawa kebahagiaan sekali gus menambah pengalaman hidup kepada dua orang yang disebut sebagai ibu dan ayah.

Bergelar selebriti dan ibu dalam masa yang sama menuntut tanggungjawab yang berganda buat pelakon Nad Zainal dan Hanis Zalikha. Namun, bukan semuanya nampak indah dan sempurna kerana mereka juga berdepan dengan cabaran dalam membesarkan anak-anak.

Mengikut peredaran masa dan jauh sekali berbeza dengan fasa mendidik ibu bapa pada zaman dahulu membuatkan mereka lebih berhati-hati dalam menentukan atur langkah anak-anak setiap hari.

Lebih-lebih lagi apabila berdepan dengan pelbagai cabaran seperti media sosial dan penggunaan gajet seperti telefon pintar.

Hanis dan Nad yang ditemui pada majlis Baby Wonderland Happikiddo di Happikiddo Quill City Mall baru-baru ini berkongsi pengalaman dan ilmu keibubapaan yang diterapkan dalam mendidik anak-anak mereka.

Tegas

Bagi Hanis, 27, setiap ibu bapa mempunyai cara berbeza dalam mendidik anak-anak. Namun, dia sentiasa terbuka untuk memberi peluang kepada anaknya, Yusuf Iskandar meneroka perkara baharu yang dianggapnya sebagai medium dalam proses tumbesaran.

“Lain orang, lain cara. Saya sangat bersetuju kalau ibu bapa memberi peluang kepada anak-anak untuk mencuba dan melakukan apa yang kita buat. Seperti contoh, saya telah mengajar Yusuf untuk menggunakan sudu ketika makan sewaktu dia masih bayi.

“Jadi lama-kelamaan, dia sudah tidak hairan pun untuk memegangnya. Sebab itu saya percaya anak-anak tidak akan memberontak kalau ibu bapa memberi peluang kepada mereka untuk mencuba,” ujarnya.

Dipersetujui oleh Nad, baginya ibu bapa adalah individu pertama yang bertanggungjawab dalam membentuk sahsiah diri anak-anak kerana didikan dari kecil akan menentukan tingkah laku mereka pada masa depan.

Meskipun anak lelakinya, Fahad Ibrahim yang kini sudah berusia setahun mempunyai ragam tersendiri tetapi dia dan suami sentiasa tegas terutama membabitkan kelakuan.

“Kalau anak buat salah, kami sebagai ibu bapa perlu tegas. Saya akui kami suami isteri memang tipikal ibu bapa Asia kerana menegur anak dengan cara tegas meskipun di tempat awam. Pendek kata, perlu bertempat kalau mahu manjakan anak.

“Cuma satu perkara yang saya tidak gemar ialah ada antara ibu bapa yang terlampau mengikut kemahuan anak. Seperti contoh, kalau mereka menangis kerana kita ambil benda yang dipegang, jangan pulangkan kembali.

“Kalau mahu ambil, ambil sahaja. Supaya anak-anak sedar bahawa kitalah yang mengawal mereka. Bukannya mereka yang kawal kita,” ujar pelakon drama Girlfriend Aku Dari Neraka itu tegas.

Teknologi

Pun begitu, tetap ada ketakutan dan kegusaran dalam hatinya sementelah dalam pemikirannya kini adalah bagaimana untuk berdepan dengan cabaran paling besar iaitu penggunaan teknologi seiring peredaran zaman.

Menyedari langkah mudah ibu bapa pada masa kini yang gemar menyogok anak-anak dengan gajet sebagai umpan supaya tidak merengek dan menangis, ia sama sekali tidak dipersetujui Nad.

“Saya tidak mahu membiarkan anak terbiasa dengan telefon pintar sejak kecil. Saya risau kalau anak turut terpengaruh dengan penggunaan gajet kerana ia bukan perkara yang baik untuk tumbesaran kanak-kanak jika tidak dikawal dengan bijak.

“Sebab itu saya langsung tidak beri anak sebarang gajet tidak kira ketika dia sedang bermain, makan atau menangis. Terbukti ketegasan saya dan suami berkesan kerana sampai sekarang anak kami okey sahaja tanpa perlu disogok dengan gajet,” ujarnya sambil menyatakan, penggunaan gajet hanya akan dibenarkan selepas anaknya berusia lima atau enam tahun.

Berdepan dengan cabaran sebagai ibu pada zaman moden menuntut isteri kepada Muhammad Faliq Amirudin, 29, itu untuk lebih berhati-hati dan peka dengan keadaan sekeliling terutama membabitkan isu semasa.

Pergaulan yang tidak terbatas turut memberi impak kepada golongan kanak-kanak dan remaja kerana kurangnya perhatian daripada keluarga selain perasaan ingin tahu dan seronok mencuba perkara baharu.

“Perkara itulah yang paling saya takutkan terjadi kerana dunia sekarang sudah teruk, jadi bagaimana agaknya pada zaman dia pula nanti.

“Sebab itu suami dan isteri perlu seimbang dalam mendidik anak-anak dan sentiasa pantau keadaan mereka bermula sejak kecil lagi,” katanya yang banyak berkongsi tip keibubapaan dengan rakan selebriti seperti Hanis dan Tya Adnan.

Bagi Hanis pula, penggunaan teknologi pada masa kini dimanfaatkan sepenuhnya untuk berkongsi ilmu pengetahuan daripada proses kehamilan, kelahiran dan tumbesaran anak bersama peminat.

Isteri kepada pelakon Hairul Azreen itu kerap berkongsi hal berkaitan penjagaan Yusuf dalam laman Instagram milik anaknya yang kini memiliki 1.8 juta pengikut.

“Sekarang semua orang suka berkongsi dan saya seronok melakukannya kerana banyak pihak lain yang akan beroleh manfaat.

“Saya jadikan perkongsian dalam Instagram Yusuf sebagai jurnal supaya pada suatu keadaan, saya mampu merujuk kembali perkara yang pernah dilakukan sebelum ini atau telah terlupa.

“Apabila mula mempraktikkan perkongsian begini, saya melihat banyak kebaikannya. Ilmu kita tidak akan berguna kalau tidak dikongsi atau diajar kepada orang lain kerana kedua-dua pihak akan mendapat manfaat daripadanya,” tutupnya mesra.-Kosmo

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.