Janna Anggap Masuk Hospital Seperti Bercuti

PENGALAMAN pertama kali dimasukkan ke hospital pada 26 Oktober lalu bukan satu insiden yang menakutkan mahupun dikesali oleh pelakon kelahiran Kedah, Janna Nick.

Sebaliknya, dia positif berpendapat kesakitan yang alaminya itu sebagai peluang untuk dia ‘bercuti’ selama tiga hari, sekali gus bebas daripada kesibukan jadual penggambaran.

Pelakon berusia 22 tahun itu telah mendapat rawatan di sebuah pusat perubatan di ibu kota kerana mengalami jangkitan kuman pada bahagian paru-paru atau dikenali sebagai pneumonia.

Kata Janna, selepas dibenarkan pulang, dia kembali memberi fokus kepada kerjaya dan melunaskan tanggungjawabnya sebagai pelakon di lokasi penggambaran drama adaptasi Korea Selatan bertajuk Coffee Prince.

Selain sibuk menguruskan kerjaya seni, Janna turut berusaha mengukuhkan perniagaan produk kecantikan dan syampu di bawah jenama Sephia by Janna Nick.

KOSMO!: Bagaimanakah keadaan Janna selepas dimasukkan ke hospital pada 26 Oktober lalu akibat mengalami jangkitan kuman pada paru-paru?

JANNA NICK: Syukur penyakit dihidapi (jangkitan kuman pada bahagian paru-paru) tidak memberikan kesan terlalu teruk sehingga mengambil masa lama untuk sembuh.

Sebaik dibenarkan pulang, saya terus memberi fokus kepada aktiviti seni dan kembali semula ke lokasi penggambaran

Meskipun ini merupakan pertama kali saya dimasukkan ke hospital tetapi ia bukan satu pengalaman yang menakutkan.

Saya mengambil pendekatan positif dan menganggap seperti sedang bercuti serta merehatkan diri daripada kesibukan kerja sepanjang tempoh tiga hari dimasukkan di hospital.

Bolehkah anda kongsikan punca masalah kesihatan itu berlaku?

Sebelum dimasukkan ke hospital, saya mengalami demam tidak kebah selama seminggu. Pada awalnya saya fikir ia hanya simptom biasa tetapi ketika hari kejadian, saya mengalami sesak nafas, selain badan menjadi lemah secara tiba-tiba.

Ketika itu, saya perlu menjadi hos bagi sebuah program anjuran Petrosains di Putrajaya. Kemudian, saya terus dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Kata doktor, jangkitan kuman itu berlaku disebabkan antibodi lemah menjadikan saya mudah dihinggapi penyakit.

Sepanjang tempoh seminggu demam, tidakkah anda cuba mendapatkan sebarang rawatan?

Saya ada pergi ke klinik dan doktor menasihati agar tidak terlalu bekerja keras dan memberi cuti sakit selama tiga hari. Namun sebagai pelakon, cuti sakit agak sukar untuk diterima pakai dan saya mengambil keputusan untuk meneruskan penggambaran.

Meskipun keadaan kesihatan tidak mengizinkan, saya perlu mempertimbangkan jadual kerja pelakon dan tenaga produksi lain. Sekiranya berlaku sebarang perubahan, ia kemungkinan akan melibatkan kos serta menambah beban kepada orang lain.

Pada masa akan datang bagaimanakah anda ingin memastikan agar kejadian sama tidak berulang?

Semestinya saya akan lebih mementingkan kesihatan dan cuba mendapatkan rehat yang cukup. Tambahan, saya tidak mahu menghampakan peminat yang banyak memberi sokongan dengan memberikan lakonan tidak berkualiti kepada mereka.

Pada masa sama, saya ingin memastikan kualiti kerja dan disiplin agar tidak mengundang masalah kepada individu lain terutama di lokasi penggambaran. Hal itu kerana saya tidak bekerja sendirian. Saya perlu bekerjasama dengan pelakon dan tenaga produksi kerja lain.

Selain sibuk dengan kerjaya lakonan, tidakkah anda ingin kembali serius dalam bidang nyanyian?

Buat masa sekarang tumpuan saya adalah kepada bidang lakonan. Tahun lalu saya melancarkan single berjudul Mungkin Saja dengan tujuan sekadar suka-suka dan perasaan ingin mencuba perkara baharu

Sekiranya tiada sebarang masalah saya akan cuba untuk menghasilkan single kedua, namun masih mencari masih mencari masa yang sesuai. Tidak dinafikan minat itu masih ada tetapi saya enggan terlalu gopoh kerana lebih senang memberi fokus kepada satu kerja terlebih dahulu.

Tambahan, pengalaman menjadi penyanyi itu boleh dijadikan sebagai ilmu pembelajaran tentang selok-belok dunia seni. Selain daripada dua kerjaya tersebut saya juga mula menceburi bidang perniagaan.

Bolehkah anda kongsikan mengenai perniagaan tersebut?

Melihat kepada industri hiburan tempatan, sukar untuk saya terlalu bergantung harap pada kerjaya lakonan sebagai sumber pendapatan.

Justeru, saya mengambil keputusan untuk memulakan perniagaan di bawah jenama Sephia by Janna Nick pada tahun lalu. Terdapat dua produk iaitu All In One Argan Oil dan Treatment Shampoo Argan Oil.

Syukur sambutan positif peminat membuatkan saya optimis perniagaan ini mampu berkembang selain produk berkenaan telah dipasarkan di Singapura dan Brunei.-Kosmo

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.