Hefny Azam Nak Pujuk Uqasha

Sekiranya memang ada jodoh dengan Uqasha Senrose, pengacara Hefny Sahad bersedia memikul tanggungjawab untuk membimbing aktres itu sebaik mungkin.

Dan kata Hefny, kesediaannya untuk membimbing Uqasha merangkumi pelbagai aspek termasuk kembali bertudung seperti suatu ketika dulu.

“Sejujurnya, kami belum pernah berbincang perkara itu.

“Namun, sekiranya kami sudah membawa hubungan ini ke fasa lebih serius, seharusnya sebagai pemimpin keluarga saya akan berusaha sedaya upaya melakukan yang terbaik,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Selain sering menjadi juruacara sesebuah majlis berbentuk hiburan, Hefny atau nama penuhnya Mohamed Hefny Sahad, 30, juga turut berkecimpung dalam dunia lakonan.

Uqasha pernah bertudung sebelum mengejutkan ramai orang dengan membukanya pada 2016.

Kata Uqasha, dia terkhilaf selepas tiga tahun memakai pakaian sebegitu.

Pun begitu, dalam keperluan melaksanakan kewajipan itu, Hefny menyedari untuk berbuat demikian, proses itu perlu dilakukan perlahan-lahan, tidak berkeras atau terus memaksa.

“Saya tidak akan terus memaksa. Islam sendiri bukan agama begitu.

“Seseorang itu terlebih dahulu perlu menjalani proses kesedaran dan kefahaman sebelum terbuka pintu hatinya untuk melakukan sesuatu kebaikan,” katanya.

Sementara itu, Uqasha, 25, baru-baru ini membuka mulut bakal mengikat tali pertunangan dengan pelakon Benci vs Cinta itu selepas lebih setahun menjalin hubungan romantik.

Bagaimanapun, Uqasha hanya akan berkongsikan tarikh rasmi majlis bahagianya itu di suatu hari yang akan diumumkan kelak.

“Saya tidak pernah mengaku secara terbuka mengenai hubungan saya dengan mana-mana lelaki sebelum ini walaupun bercinta.

“Ini adalah kali pertama saya mengaku sedang bercinta dan bahagia bersama Hefny. Kami serius dalam hubungan ini,” katanya.-Malaysiakini

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.