Bukan Marcote Tapi Gomez Kata Jeffrey

Pengurus Kedah, Datuk Jeffrey Low menyifatkan Mario Gomez lebih sesuai untuk membimbing skuad Helang Merah jika dibandingkan dengan Ramon Marcote.

Secara peribadi, Jeffrey memberitahu, pengalaman Gomez ketika membimbing bekas pasukan, Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi faktor utama berbanding Marcote yang tidak pernah memiliki pengalaman mengemudi pasukan sebagai ketua jurulatih, lapor Kosmo.

Terdahulu, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) menegaskan, mereka tidak berminat untuk mencari pengganti baharu biarpun jurulatihnya, Mohd. Nidzam Adzha memberikan bayangan untuk meninggalkan ‘kerusi panas’ itu selepas Kedah tewas 0-1 kepada JDT dalam aksi final Piala Malaysia 2017, Sabtu lalu.

Bagaimanapun Jeffrey berkata, pihaknya sedia berunding dengan mana-mana calon berminat dengan juara lima kali Piala Malaysia tersebut tetapi pada masa sama memaklumkan belum ada sebarang permohonan rasmi daripada kedua-dua jurulatih asing terbabit.

“Jika mereka (Gomez dan Marcote) berminat, hantar surat (permohonan). Kita mungkin boleh berbincang apa yang beliau mahu selaras dengan kedudukan kewangan KFA.

“Sesetengah jurulatih menghantar permohonan dan kami akan teliti setiap permohonan itu. Jika Gomez berminat, tiada masalah tapi kena hantar permohonan.

“Jika ditanya pendapat saya, Gomez lebih sesuai kerana beliau memiliki pengalaman sebagai ketua jurulatih berbanding Marcote yang sebelum ini menjadi pembantu sahaja dan tidak pernah menjadi ketua jurulatih. Namun, buat masa ini Nidzam kekal sebagai jurulatih Kedah.

“Seperti saya katakan tadi, hantar surat permohonan. Kemudian, kita berbincang mengikut apa yang kelab ini mahukan sesuai dengan perancangan pada musim depan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, Gomez dan Marcote masing-masing menunjukkan minat serius membimbing Kedah jika Nidzam mahu meninggalkan peranan ketua jurulatih pada musim depan.

Gomez yang sebelum ini turut menjadi buruan Selangor PKNS tanpa berselindung mengakui berhajat menjadi pengendali skuad Helang Merah jika diberikan peluang kerana jurulatih kelahiran Argentina itu terdesak membuat penampilan semula pada Liga Malaysia (Liga M).

Hasrat tersebut juga diluahkan oleh Marcote yang mahu membuat penampilan semula di negara ini selepas jurulatih kelahiran Sepanyol itu pernah membimbing pasukan Kedah layak ke pentas final Piala Malaysia 2015.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.