946 Cerun Di Semenanjung Berisiko Sangat Tinggi

Sebanyak 16,453 cerun didaftarkan di sepanjang Jalan Persekutuan di Semenanjung sehingga Februari tahun ini, dengan 946 cerun diklasifikasikan sebagai berisiko sangat tinggi, 1,551 sebagai berisiko tinggi, 2,307 (berisiko sederhana), 5,122 (berisiko rendah) dan 6,527 (berisiko sangat rendah).

Sehubungan itu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) telah melantik syarikat Pintas Utama Sdn Bhd (PUSB) sebagai konsesi untuk mengambil tindakan penyenggaraan pembaikan cerun dan tindakan pencegahan untuk jangka masa panjang.

“PUSB turut dikerah untuk membantu pihak konsesi jalan raya tempatan untuk membersihkan jalan raya yang terjejas akibat sisa runtuhan berpunca daripada kegagalan cerun bagi memberikan laluan yang selamat kepada pengguna,” katanya dalam dalam satu kenyataan semalam.

Pada masa sama, katanya JKR menjalankan langkah edukatif dengan menyediakan klip video yang diedarkan kepada semua stesen televisyen untuk disiarkan secara berkala bagi menyebarluas maklumat berkaitan cerun seperti tanda-tanda awal tanah runtuh.

 

Katanya JKR turut menghasilkan iklan bermaklumat dalam bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil yang dihebahkan melalui akaun rasmi twitter Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR iaitu @CerunJKR.

Fadillah turut menggesa penglibatan pelbagai pihak khususnya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebagai satu daripada usaha memastikan pemantauan cerun yang berkesan.- Bernama

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.